PEMAIN TFC berlatih dalam hujan, malam ini. FOTO TFC
PEMAIN TFC berlatih dalam hujan, malam ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) perlu bekerja lebih keras dalam usaha mengutip tiga mata penuh menentang Sabah FC selepas empat pemain tonggaknya cedera.

Lebih parah, keempat-empat pemain cedera itu adalah tonggak pertahanan iaitu Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Alif Zakaria serta dua pertahanan tengah, Mohammad Shahrul Nizam Ros Hasni dan Muhammad Safwan Mazlan.

Skuad Penyu bakal melayani Sabah FC pada aksi ke-24 saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada malam esok dalam misi meraih kemenangan pada tiga aksi terakhir itu.

Situasi ini diluahkan pengendalinya, Tomislav Steinbruckner yang melihat ketiadaan empat pemain pertahanannya itu bakal merencatkan perancangannya dalam usaha memburu lima kelompok terbaik liga.

"Bukan sahaja padang latihan tidak dapat kami gunakan sepenuhnya kerana hujan berterusan pada musim tengkujuh ini, malah kami dihimpit masalah kecederaan pemain tonggak.

"Lebih merisaukan empat pemain itu semuanya pemain pertahanan dan dijangka tidak sempat sembuh sepenuhnya esok.

"Justeru, saya perlu merombak kesebelasan utama bagi memastikan hasrat untuk melakar kemenangan berhasil lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri," kata pengendali kelahiran Croatia itu.

Ketiadaan empat pemain pertahanan itu dijangka bakal membuka peluang buat pemain pertahanan skuad Piala MFL, Terengganu FC II (TFC II) yang menjuarai trofi piala itu, baru-baru ini 'dinaikkan pangkat'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 9:49 PM