GHALENOEI bawa Iran mara ke separuh akhir berdepan tuan rumah, Qatar. -FOTO Reuters
GHALENOEI bawa Iran mara ke separuh akhir berdepan tuan rumah, Qatar. -FOTO Reuters
Reuters

Al Rayyan, Qatar: Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei membidas media negaranya selepas berjaya membimbing pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Asia dengan berkata beberapa kritikan mereka adalah tidak wajar selepas dia mengambil alih pasukan kebangsaan 11 bulan lalu.

Ghalenoei mengambil alih pasukan itu pada bulan Mac sebelum itu pernah membawa Iran ke suku akhir Piala Asia pada 2007, tetapi kali ini dia membawa mereka setapak lagi selepas mereka menewaskan pasukan ranking teratas Asia, Jepun 2-1, semalam.

Pengendali berusia 60 tahun itu, menggantikan Carlos Queiroz, tidak tewas dalam 16 perlawanan sejak mengambil alih tugas tetapi kemampuannya dipersoalkan tahun lalu apabila memutuskan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan persahabatan seperti Kejohanan Antarabangsa Jordan dan Piala Negara-Negara CAFA.

"Semua orang harus percaya kepada jurulatih Iran. Kami mempunyai ramai jurulatih Iran yang baik namun tidak dapat ke Eropah kerana situasi politik Iran," kata Ghalenoei kepada pemberita selepas menerima tepukan gemuruh pada sidang akhbarnya.

"Dalam tempoh 11 bulan lalu, media Iran mengkritik kami apabila kami menyertai Kejohanan Antarabangsa Jordan dan Piala Negara-Negara CAFA.

"Tetapi anda boleh lihat daripada lapan pasukan pada suku akhir Piala Asia, lima pasukan adalah daripada kejohanan itu. Tiga pasukan daripada kejohanan itu mara ke separuh akhir.

"Saya tidak kata kritikan itu tidak bagus, tetapi ada yang cuba merosakkan pasukan kebangsaan sejak 11 bulan lalu. Ini tidak bagus. Saya ingin berterima kasih kepada mereka yang menyokong kami dan keluarga saya."

Skuad kendalian Ghalenoei memenangi kejohanan sulung membabitkan tujuh pasukan anjuran Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) pada Jun, menewaskan Uzbekistan pada perlawanan akhir.

Iran kemudian memenangi Kejohanan Antarabangsa Jordan membabitkan saingan empat pasukan di Amman pada Oktober apabila menewaskan Qatar pada perlawanan akhir yang turut menampilkan Jordan dan Iraq.

Iran akan menentang Qatar pada separuh akhir Piala Asia.

"Antara Qatar dan Uzbekistan, tiada beza bagi kami. Kami pernah bermain dengan kedua-dua pasukan dalam tempoh 11 bulan ini," tambahnya.

"Sebelum peringkat kalah mati ramai orang mencadangkan agar kami mengubah laluan kami ke final (untuk mengelak berdepan pasukan teratas dalam Piala Asia), tetapi kami cukup berani untuk bermain dengan semua orang. Kami menewaskan setiap pasukan sehingga peringkat ini."​

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 10:29 AM