AHMAD Al-Ali ketika mengadili perlawanan  Kyrgyzstan menentang  Oman pada 25 Januari.
AHMAD Al-Ali ketika mengadili perlawanan Kyrgyzstan menentang Oman pada 25 Januari.
Reuters

Doha: Pemain Iran Saeid Ezatolahi mempersoalkan pelantikan pengadil Arab pada aksi separuh akhir Piala Asia menentang pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan Qatar.

Perlawanan malam esok bakal diadili pengadil dari Kuwait Ahmad Al-Ali yang sebelum ini bertugas dalam dua aksi peringkat kumpulan dan peringkat 16 terakhir.

"Apa yang mengejutkan kami ialah pengadil malam esok ialah dari Kuwait, dia seorang Arab," kata Ezatolahi kepada wartawan hari ini.

"Kami hairan bagaimana mereka boleh menugaskan pengadil Arab untuk perlawanan esok.

"Tetapi kami pasukan kebangsaan Iran, kami pasukan besar. Kami mempunyai pemain sangat bagus, kami profesional."

Iran mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasukan pilihan Jepun 2-1 walaupun hanya mempunyai dua hari rehat susulan aksi menentang Syria yang berlanjutan ke tambahan masa serta penentuan penalti.

"Di kejohanan ini pemain tak cukup masa untuk pulih terutamanya di peringkat kalah mati," kata Ezatolahi yang turut tidak berpuas hati dengan tempoh rehat pemain.

"Ramai pemain datang terus ke sini dari kelab mereka dan berada dalam tekanan di Doha."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 10:21 PM