FAM mengarahkan Kelantan FC membayar tunggakan gaji kepada Shahrul Nizam (kanan) yang kini bersama Terengganu FC (TFC). FOTO ARKIB NSTP
FAM mengarahkan Kelantan FC membayar tunggakan gaji kepada Shahrul Nizam (kanan) yang kini bersama Terengganu FC (TFC). FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan FC mungkin salah satu daripada dua pasukan yang berisiko dikenakan sekatan pembelian pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), bulan depan.

Ia susulan perkongsian ejen pemain bola sepak tempatan yang lebih dikenali dengan panggilan Joe Berbatov di laman sosial.

Ejen kepada dua bekas pemain Kelantan FC iaitu Nik Akif Shahiran dan Shahrul Nizam Ros Hasni itu mendesak agar tunggakan berjumlah RM33,000 dilunaskan segera sebelum jendela perpindahan dibuka nanti.

Katanya, isu tunggakan itu sudah dibawa ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan induk itu sudah membuat keputusan mengarahkan skuad The Red Warriors (TRW) membayar hutang itu.

"Selesaikan dulu arahan FAM bayar RM33,000 dekat Nik Akif dan Shahrul Nizam. Takut kena 'transfer ban' (sekatan perpindahan).

"Kesian penyokong harap ada pemain baharu nak masuk," kata Joe Berbatov, sekali gus menjawab persoalan mengenai dua kelab yang berkemungkinan tidak dibenarkan merekrut pemain baharu.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan Unit Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) akan mengadakan perbincangan bagi menentukan pasukan yang kemungkinan dikenakan sekatan kerana berhadapan beberapa isu seperti tunggakan gaji.

Beliau berkata, situasi terbabit perlu dilakukan bagi memastikan pasukan itu tidak leka mengenai tunggakan gaji selain turut memperincikan lagi kewangan pasukan supaya dapat mengharungi baki saingan liga tanpa sebarang masalah.

Malah, difahamkan, beberapa tonggak utama TRW memilih untuk meninggalkan pasukan itu untuk menyertai pasukan lain pada bulan depan.

Jika benar dikenakan sekatan perpindahan, timbul persoalan adakah Kelantan memiliki cukup bilangan pemain untuk bersaing di Liga M sehingga hujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 6:08 PM