NORSHAHRUL (kanan) ketika beraksi bersama Melaka United pada musim 2022. FOTO BERNAMA
NORSHAHRUL (kanan) ketika beraksi bersama Melaka United pada musim 2022. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bagai menanti bulan jatuh ke riba apabila tunggakan gaji membabitkan Melaka United masih tiada khabar berita hingga menyebabkan ada antara bekas pemain pasukan terbabit mula bersuara.

Antara yang sudah mula berbunyi mengenai tunggakan gaji terbabit adalah bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang mengeluh apabila gajinya setengah tahun masih lagi belum dibayar.

Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo secara terbuka di laman Instagram miliknya mendesak Melaka United untuk tampil menyelesaikan tunggakan gajinya selama enam bulan.

Malah, pemain terbabit juga mendakwa dia berjaya mendapatkan semula laman Instagramnya yang sudah lama digodam namun tunggakan gajinya masih lagi tiada penyelesaian.

"Melaka United, IG (Instagram) saya pun dah dapat balik. Gaji yang tertunggak enam bulan tu agak-agak bila nak dapat balik?

"Lama tunggu, bayarlah hutang. Banyak kerugian isteri dan anak-anak alami. Tak baik aniaya orang. Bila nak bayar tu? Enam bulan bukan enam minggu tapi enam bukan tak bergaji. Kerja pergi kerja, gaji tak nak bayar?

"Macam ni anda bela nasib pemain yang pernah berbakti kepada negara? Awal-awal tahun 2022 dah lewat bayar lepas tu sikit-sikit pula," tulis Norshahrul.

Pemain itu juga mengecam tindakan Melaka United sebelum ini yang tidak ukur baju di badan sehingga mendapatkan pemain import walaupun bajet rendah.

"Gaji tak besar pun tapi kita kena faham kelab ada masalah dengan kerajaan. Dah tahu tak mampu ambil pemain import mahal-mahal kenapa?

"Ukurlah baju pada bajet anda sendiri. Saya minta tolong usahakan selesaikan isu gaji. Perlu ke saya screenshot (tangkap layer) dan beritahu umum? Itu bukan cara saya.

"Sekarang semua diam seolah-olah lari, cubaan demi cubaan (dilakukan) untuk tutup nama saya kan? Ikutkan banyak (lagi) nak dibongkarkan," katanya.

Mengikut rekod, Norshahrul beraksi untuk Melaka United selama semusim pada 2022 dan dia juga adalah sebahagian daripada skuad Malaysia yang menenangi Piala AFF pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 4:14 PM