AZLAN mengakui MFL harus bertindak tegas dengan menyekat atau menghalang pasukan-pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji. FOTO OWEE AH CHUN
AZLAN mengakui MFL harus bertindak tegas dengan menyekat atau menghalang pasukan-pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Jangan bagi muka lagi dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) kena tegas".

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar yang mengakui 'meluat' melihat beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang masih diberikan lesen bertanding meskipun berdepan tunggakan hutang ke atas pemain mereka.

Jelasnya, MFL harus bertindak tegas dengan menyekat atau menghalang pasukan-pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji khususnya buat kelab yang berhutang untuk tempoh agak lama.

"Saya sudah penat nak cakap benda ini. Tapi selaku orang yang sayangkan bola sepak negara, saya tetap kena bersuara untuk mengingat dan menegur mereka yang leka.

"Dalam isu tunggakan yang bertahun-tahun tak selesai, patutnya MFL jangan bagi lesen dan halang daripada bertanding.

"Biar pasukan itu selesaikan dulu hutang lama, bila sudah selesai barulah boleh bertanding semula. Jangan berlembut sangat atau nak bagi muka sebab kawan-kawan atau mahukan undi mereka.

"Di sinilah integriti akan dipandang peminat di luar. Kalau boleh tegas dan jangan bagi muka. Kasihan pemain yang takkan makan dan kena kejar bank sebab tak dapat bayar komitmen.

"Sedangkan pemain sudah bermati-matian untuk naikkan nama pasukan, akhirnya kebajikan pemain diabaikan begitu saja," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, isu tunggakan gaji hangat diperkatakan selepas tiga pasukan tempatan didakwa gagal melunaskan gaji semasa yang sedang beraksi di Piala Malaysia termasuk pasukan Sarawak United, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC.

Manakala, satu lagi pasukan iaitu Kelantan FC pula dipalit dengan tunggakan gaji bekas pemainnya yang masih sangkut sejak tiga tahun lalu ketika di bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Begitupun, daripada empat pasukan itu, hanya Kedah yang dilaporkan berjaya menyelesaikan tunggakan berkenaan dengan selebihnya masih diam membisu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 10:39 PM