ZUL Ikman (kanan)  turut menjawab sebab-sebab mengapa pihaknya terpaksa menyelesaikan pembayaran gaji pemain import terlebih dahulu. FOTO Ihsan Kelantan United FC
ZUL Ikman (kanan) turut menjawab sebab-sebab mengapa pihaknya terpaksa menyelesaikan pembayaran gaji pemain import terlebih dahulu. FOTO Ihsan Kelantan United FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan United (KUFC) akan segera mencari jalan penyelesaian berhubung tunggakan gaji hampir lima bulan yang menghantui kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan lepas tangan dan akan menangani isu itu selewat-lewatnya hingga minggu depan terutamanya kepada pemain tempatan.

Malah, beliau turut menjawab sebab-sebab mengapa pihaknya terpaksa menyelesaikan pembayaran gaji pemain import terlebih dahulu berbanding tonggak tempatan.

"Kita bayar berperingkat sebab pemain import nak balik pada Ahad, jadi InsyaAllah minggu hadapan kita nak bayar pemain tempatan pula. "Betul kita ada tunggakan gaji, tetapi bukan lima bulan. Tunggakan empat bulan iaitu sejak Ogos. Namun kita bukan kata hanya duduk diam atau senyap sahaja seperti sesetengah pasukan, kita berusaha untuk selesaikan.

"Kita sentiasa berhubung dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan penaja. Hari ini (semalam) pun pihak pengurusan akan ada perjumpaan dengan pemain sebelum perlawanan (menentang Kelantan)," katanya.

Menerusi pendedahan Arena Metro semalam, sumber KUFC yang juga anggota skuad Sang Kijang Hijau mengakui terkilan dengan pengurusan kelab itu.

Jelas sumber, pemain tempatan seolah dianak tirikan apabila hampir lima bulan tidak dibayar gaji, sedangkan tonggak import pula mendapat layanan berbeza apabila tunggakan diselesaikan oleh pengurusan pada Khamis lalu.

Ujar sumber itu, tindakan menyelesaikan tunggakan import adalah bagi mengelak pemain import melaporkan isu terbabit kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) namun tonggak tempatan pula dibiarkan tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikan tunggakan itu.

Malah, pemain tempatan memilih untuk mendiamkan diri tanpa membuat sebarang aduan berhubung tunggakan itu bagi memastikan urusan permohonan lesen kebangsaan berjalan lancar selain mahu menjaga nama baik pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 3:35 PM