LJUBA berkata, dia masih lagi menyimpan hasrat beraksi di Liga M dan bersedia terbang ke Malaysia. FOTO Ihsan Instagram Ljuba Baranin
LJUBA berkata, dia masih lagi menyimpan hasrat beraksi di Liga M dan bersedia terbang ke Malaysia. FOTO Ihsan Instagram Ljuba Baranin
Syazwan Msar


PERNAH ditipu dengan tidak bayar gaji hampir setengah juta ringgit selain turut diugut individu tertentu tidak melunturkan harapan bekas pemain import Kuantan FA dan kelab Liga M3 Batu Dua FC, Ljuba Baranin untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Mengakui masih merindui aksi bersama pemain Liga M, Ljuba yang kini beraksi bersama kelab di negara kelahirannya iaitu Serbia mengakui pengalaman pahit ketika bersama Kuantan FA dan Batu Dua FC untuk lebih berhati-hati memilih pasukan pada masa akan datang.

Ljuba berkata, dia masih lagi menyimpan hasrat beraksi di Liga M dan bersedia terbang ke negara ini jika mendapat tawaran daripada kelab tempatan.

"Saya mengakui merindui aksi di Liga M kerana penyokong dan rakan yang begitu baik dan sentiasa memberikan sokongan kepada pemain dalam mengharungi kesukaran.

"Cuma ada beberapa perkara yang dilihat sebenarnya mencalar imej bola sepak Malaysia terutama berkaitan tunggakan gaji yang dilihat cukup sukar untuk diselesaikan oleh pihak berkaitan.

"Bayangkan saya bermain di dua kelab yang berbeza dan mengharungi nasib sama iaitu tidak dibayar gaji dengan Kuantan FA masih lagi berhutang kira-kira RM400,000," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bekas tonggak import Batu Dua FC itu pernah meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap pengurusan kelab itu yang gagal membayar tunggakan gaji seperti yang dijanjikan.

Pengalaman buruk itu sebenarnya sudah dilalui pemain berkenaan ketika bersama Kuantan FA apabila gajinya tidak bayar hampir setahun selepas beraksi bersama pasukan terbabit.

Sementara itu, Ljuba berkata, dia tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap dua pasukan berkenaan apabila mendapati sudah ditutup dan tidak lagi beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia.

"Saya ada juga terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang namun apabila kelab terbabit ditutup tiada apa yang boleh dilakukan namun tetap berharap segala hutang terbabit dapat dijelaskan segera.

"Perkara terbabit seharusnya ditangani segera dan kini saya dengar terdapat sebuah pasukan iaitu Kelantan turut berhadapan dengan tunggakan gaji melalui Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) oleh bekas pemain import mereka.

"Jika dibiarkan sudah pasti memberi tanggapan buruk kepada pemain asing hanya kerana kegagalan pihak tertentu menyelesaikan masalah terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 4:44 PM