KEADAAN padang pada perlawanan akhir Piala Malaysia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
KEADAAN padang pada perlawanan akhir Piala Malaysia. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh dikatakan 'berpuaka' apabila sekurang-kurangnya tiga pemain mungkin terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan pada aksi final Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC, kelmarin.

Malah, lebih membimbangkan dua pemain yang cedera itu adalah tonggak Harimau Malaya Corbin Ong dan tunjang skuad Bawah 23 tahun (B-23) Ubaidullah Shamsul.

Nasib malang turut menimpa, pemain import Harimau Selatan Shane Lowry yang baru kembali beraksi selepas berehat panjang namun pada perlawanan itu menyaksikan dia terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

Ubaidullah yang juga tonggak pertahanan skuad B-23 mungkin terpaksa berehat panjang kerana kakinya tersangkut pada tanah sebelum tergolek dan bertembung dengan Suhaimi Husin.

Sementara itu, menurut pengendali JDT, Esteban Solari mengesahkan bahawa dua bintang utamanya itu sememangnya mengalami kecederaan.

"Corbin memang cedera sama juga dengan Shane (Lowry), kerana itu awal melihat beliau (Shane) menangis ketika meninggalkan padang." Katanya.

Sementara itu, Ubaidullah pula mengesahkan mungkin terlepas peluang menghabiskan bagi saingan pada musim ini selain perlu menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui tahap kecederaan itu.

"Saya masih belum pasti (tahap kecederaan), saya perlu pulang ke Terengganu dan memeriksanya. Perkara penting adalah mengharapkan mampu pulih dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Mengikut rekod, JDT masih perlu mengharungi cabaran getir di Liga Juara-Juara AFC (ACL) sementara anak didik Tomislav Steinbruckner bakal menghadapi Bali United bagi aksi terakhir Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:10 PM