BARISAN anak buah Elavarasan mudah ratah Laos dalam aksi kumpulan B. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BARISAN anak buah Elavarasan mudah ratah Laos dalam aksi kumpulan B. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Zulfaizan Mansor


Phom Penh: Tonggak pertahanan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Ubaidullah Shamsul Fazili mengakui dia mungkin akan dikecam peminat bola sepak Malaysia seandainya keputusan menentang Laos, semalam tidak memihak kepada Malaysia.

Ubaidullah mencetak nama selaku penjaring Malaysia di Sukan Sea Kemboja 2023 pada minit keempat, namun kegembiraan itu hampir bertukar kepada mimpi ngeri buatnya apabila dia tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-21, dan menjadi gol penyamaan Laos.

Bagaimanapun kekecewaan pemain kelahiran Kelantan itu hanya tujuh minit dengan dia boleh menarik nafas lega selepas pemain Laos, Anantaza Siphongphan turut tertampan ke gawang sendiri pada minit ke-28.

"Apabila saya tengok pemain Laos pula menjaringkan gol sendiri untuk Malaysia kembali berada di hadapan, saya jadi lega, kalau tidak pasti saya kena kecam. Memang kemenangan ini sedikit sebanyak menutup kesilapan yang saya buat.

"Saya bersyukur ada rakan sepasukan yang banyak berikan sokongan, begitu juga barisan kejurulatihan. Mereka tidak beri reaksi yang bukan-bukan, sebaliknya memberikan kata-kata sokongan buat saya untuk meneruskan perlawanan.

"Bagi saya, apa yang terjadi adalah proses pembelajaran untuk saya, sama seperti di Singapura (Piala Merlion). Saya banyak buat kesilapan, yang penting kita belajar dari kesilapan itu," katanya.

Pada aksi Kumpulan B di Stadium Prince, di sini, semalam, perubahan corak permainan ketika penghujung perlawanan membolehkan skuad E Elavarasan meraih kemenangan besar 5-1 dan akan berdepan pasukan pilihan, Thailand di gelanggang sama, Sabtu ini.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Ubaidullah yang membuat penampilan kedua di temasya dwitahunan itu mengakui Thailand sebagai lawan yang kuat dan menjadi pilihan untuk memenangi pingat emas.

"Kita tahu Thailand pasukan yang kuat dan pasukan pilihan di Sukan Sea, jadi kami perlu berusaha lebih kuat untuk menentang mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 12:46 PM