UBAIDULLAH (tengah)lihat kehadiran Richard memberi persaingan yang baik. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
UBAIDULLAH (tengah)lihat kehadiran Richard memberi persaingan yang baik. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran pemain kacukan Richard Chin menyaksikan persaingan dalam merebut kesebelasan utama dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) menjadi lebih sengit.

Tonggak pertahanan skuad B-23 negara Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, situasi terbabit secara tidak langsung menyaksikan setiap pemain mempamerkan aksi terbaik dalam usaha memikat hati barisan kejurulatihan.

Ubaidullah yang juga pertahanan Terengganu FC berkata, pengendali skuad B-23 Juan Torres Garrido sudah pastinya mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih kesebelasan utama terbaik bagi mengharungi Piala Asia B-23 pada April tahun depan.

"Saya lihat kehadiran Chin memberi persaingan yang baik yang mana ia akan mewujudkan persaingan sihat di antara pemain.

"Kita juga tahu posisi dia juga ada Aney (Azam Azmi). Jadinya, saya lihat kehadiran pemain terbabit dapat menguatkan lagi pasukan pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan skuad B-23 negara mendapat suntikan baharu menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April tahun depan apabila Chin bakal memperkuatkan pasukan muda negara itu kelak.

Skuad B-23 ketika ini menjalani kem latihan pusat yang bermula sejak 13 November lalu bagi mempersiapkan pasukan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung pada April 2024.

Selain itu, Ubaidullah berkata, taktikal yang diterapkan Garrido hampir sama dengan corak permainan Terengganu FC sekali gus tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan.

"Tiada beza banyak cuma sedikit sahaja. Mungkin dari segi posisi pemain dan konsep yang diterapkan lebih kepada 'kedudukan bola'. Saya rasa tiada masalah untuk kita menyesuaikan diri dengan taktikal ini lebih cepat.

"Saya lebih selesa di pertahanan tengah kerana itu adalah posisi utama tapi sebagai seorang pemain kita tidak boleh bermain di satu posisi sahaja kerana perlu variasikan lagi untuk dapatkan peluang bermain terutamanya di skuad senior," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 2:32 PM