MORA mengakui TFC memberi saingan sengit terhadap JDT. -FOTO Rizar Mohd Noor
MORA mengakui TFC memberi saingan sengit terhadap JDT. -FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengesahkan kapten yang juga penjaga gol JDT, Farizal Marlias berada dalam keadaan stabil dan kini sedang dirawat di sebuah hospital dengan pemantauan rapi oleh doktor.

Mora berkata insiden yang berlaku pada minit ke-60 tidak dapat dielak selepas pemain pertahanan JDT, Shane Lowry cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan ketika itu juga Farizal turut ingin menyelamatkan bola.

"Insiden itu berlaku pantas, Farizal tidak pengsan selepas berlanggar dengan Shane (Lowry), sebaliknya berada dalam keadaan kebingungan dan sudah menjadi prosedur perubatan untuk doktor pasukan akan memantau pemain itu untuk di bawa ke hospital.

"Sama ada Farizal akan diturunkan pada aksi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bermula Jumaat ini, apa yang saya boleh katakan ya akan diturunkan atau mungkin dia perlu rehat, semuanya bergantung kepada keputusan doktor pasukan," katanya

Mengulas mengenai kemenangan JDT apabila menewaskan Terengganu FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi, Mora mengakui pasukan bimbingannya berdepan situasi sukar untuk menang dalam perlawanan itu.

Malah pengendali kelahiran Mexico itu memuji corak permainan yang diterapkan oleh pengendali TFC, Nafuzi Zain yang beri kepayahan buat barisan pemain JDT tatkala terpaksa bertungkus lumus untuk menyerap tekanan dan asakan pemain TFC sambil menegaskan bernasib baik untuk mencipta kemenangan pada perlawanan itu.

"Saya tidak boleh bercakap bohong dan ia terbukti sepanjang 90 minit perlawanan TFC tampil dengan corak permainan yang bagi saya cukup merisaukan kami tatkala mereka adalah pasukan terbaik dan memiliki pemain yang berkualiti dan permainan juga berintensiti tinggi.

"Mereka menguasai permainan di posisi tengah malah mereka kerap menyerang menggunakan dua pemain sayap kiri dan kanan yang beri ancaman terhadap benteng JDT apabila kami terpaksa bekerja keras mengekang asakan pemain TFC.

"Saya melihat TFC adalah pasukan yang bakal memberi cabaran sengit dalam kancah liga dan mereka akan bangkit dengan corak permainan yang lebih ampuh tapi kelegaan buat kami kerana mampu tewaskan mereka dan kemenangan keempat berturut-turut bagi kami amat penting dalam saingan liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 12:33 PM