KANE meraikan jaringan kedua Bayern. FOTO AFP
KANE meraikan jaringan kedua Bayern. FOTO AFP
AFP

Berlin: Harry Kane mengatasi pencapaian penyerang legenda Jerman Gerd Mueller selepas meledak hatrik ketika Bayern Munich membelasah Bochum 7-0 yang membolehkan juara bertahan kembali ke puncak Bundesliga.

Kane menjaringkan gol minit ke-13, sebelum menyempurnakan penalti pada babak kedua dan gol ketiganya menyusul minit ke-88 apabila menolak masuk hantaran rendah Leroy Sane.

Dengan enam gol dalam lima perlawanan, kapten England itu kini mempunyai lebih jaringan dalam lima aksi pertama liga berbanding mana-mana pemain dalam sejarah Bayern.

Kane mengatasi pencapaian Mueller (1965), Miroslav Klose (2007) dan Mario Mandzukic (2012) yang masing-masing menjaringkan lima gol dalam lima aksi pertama untuk kelab itu.

"Saya gembira memainkan peranan saya dan lebih banyak lagi pencapaian akan datang. Setakat ini semua bagus," kata Kane selepas tamat perlawanan semalam.

Bayern kini menewaskan Bochum 7-0 dalam tiga daripada lima perlawanan terakhir kedua-dua pasukan.

Pengurus Bayern Thomas Tuchel memuji skuadnya yang dianggap berhak meraih kemenangan dan berkata ia 'hari yang fantastik di pejabat'.

Eric Maxim Choupo-Moting, Matthijs de Ligt, Leroy Sane dan Mathys Tel yang masuk sebagai pemain gantian turut mencetak nama sebagai penjaring.

Bayern yang melepaskan dua gol lewat ketika menewaskan Manchester United 4-3 dalam aksi Liga Juara-Juara Khamis lalu kekal tanpa bolos buat kali kedua dalam tujuh perlawanan musim ini manakala Bochum terus kemarau kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 8:43 AM