AKSI Diaz menanduk gol penyamaan Liverpool. FOTO AFP
AKSI Diaz menanduk gol penyamaan Liverpool. FOTO AFP
AFP

London: Luis Diaz menyelamatkan Liverpool daripada kekalahan mengejut di Luton selepas seri 1-1 awal pagi tadi dalam penampilan pertama sejak ibu bapanya diculik kumpulan gerila di Colombia.

Pemain sayap itu masuk sebagai pemain simpanan selepas Tahith Chong meletakkan Luton di depan ketika permainan berbaki 10 minit.

Diaz melompat tinggi dan menanduk gol penyamaan pada minit kelima masa kecederaan untuk menafikan kemenangan pertama Hatters di tempat sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ibunya diselamatkan beberapa jam selepas diculik pada 28 Oktober tetapi bapanya Luis Manuel Diaz masih gagal ditemui.

Pemain berusia 26 tahun itu membuka jersinya yang mendedahkan perkataan 'pembebasan untuk ayah' selepas menjaringkan gol dan melakukannya sekali lagi selepas tamat permainan.

"Ia detik indah tetapi tidak mengubah situasi," kata pengendali Liverpool," kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp. "Perkara paling penting ialah bapanya dibebaskan.

"Mengagumkan apabila dia mahu ke sini. Bagi kami ia jaringan sangat penting apatah lagi kepada Diaz dan sangat emosi."

Namun semangat perjuangan Diaz tidak seperti prestasi rakan sepasukannya yang hampir dimalukan Luton.

Skuad Rob Edwards hanya beberapa minit daripada mencipta antara kemenangan mengejut terbesar dalam sejarah EPL.

Percubaan Darwin Nunez terkena palang ketika kedudukan 0-0 pada awal permainan manakala Mohamed Salah sepatutnya menanduk masuk dari jarak dekat ketika permainan berbaki 20 minit.

Tetapi apabila percubaan bintang Mesir itu jatuh ke kaki Nunez, pemain Uruguay itu merembat melepasi palang.

Sebaliknya Chong yang membuka jaringan 10 minit sebelum tamat permainan.

Diaz kemudiannya masuk daripada bangku simpanan dan menyelamatkan Liverpool apabila menanduk masuk hantaran Harvey Elliott ketika penyokong Luton sudah mula berdiri untuk meraikan kemenangam bersejarah.

Liverpool terlepas peluang menduduki tangga kedua tetapi memintas Arsenal di tangga ketiga berdasarkan perbezaan jaringan dan satu mata diraih Luton membolehkan mereka melepasi zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 7:14 AM