ELN mengeluarkan kenyataan semalam akan membebaskan bapa Diaz. FOTO AFP
ELN mengeluarkan kenyataan semalam akan membebaskan bapa Diaz. FOTO AFP
Agensi

Liverpool: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp akan membiarkan pemain sayapnya, Luis Diaz membuat keputusan sendiri apabila dia bersedia untuk bermain semula, selepas ibu bapanya diculik oleh kumpulan gerila di Colombia.

Bapa Diaz masih belum dibebaskan, manakala ibunya diselamatkan dalam beberapa jam oleh polis selepas penculikan hujung minggu lalu di bandar kecil Barrancas di Colombia.

Kerajaan Colombia berkata sebelum ini bahawa kumpulan gerila Tentera Pembebasan Kebangsaan, yang dikenali sebagai ELN, bertanggungjawab atas penculikan itu.

Klopp berkata Diaz, yang juga tonggak pasukan kebangsaan Colombia, berlatih dengan pasukan minggu ini, tetapi dia akan menyerahkan kepada pemain itu untuk memutuskan sama ada dia mahu berada dalam skuad untuk lawatan ke Luton esok.

"Kita mesti tunggu. Jika dia rasa boleh (diturunkan), dia akan berada di sini dan berlatih bersama kami," kata Klopp.

"Ketika sesi latihan, dia bersama kami, anda boleh lihat apabila dia bersama pemain lain baik-baik saja, dia OK, tetapi anda boleh lihat dia tidak banyak tidur. ... Ini semua atas keputusannya, jika dia bersedia atau tidak, dan saya tidak akan memaksa apa-apa."

Pasukan khas Colombia sudah mencari bapa Diaz di banjaran gunung yang melintasi kedua-dua Colombia dan Venezuela dan dilitupi oleh hutan awan.

Polis juga menawarkan ganjaran AS$48,000 (RM227,000) untuk maklumat yang membawa kepada dia ditemui.

Diaz tidak hadir dalam perlawanan Liverpool menentang Nottingham Forest Ahad lalu.

Rakan sepasukannya menyatakan solidariti mereka ke atas pemain itu dengan mengangkat jersinya di atas padang selepas memperoleh gol pertama pasukan dalam kemenangan 3-0 mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 9:15 AM