FIRMINO diraikan rakan sepasukan selepas aksi Liverpool menentang Leicester City di Stadium King Power,  Isnin lalu.
FIRMINO diraikan rakan sepasukan selepas aksi Liverpool menentang Leicester City di Stadium King Power, Isnin lalu.
Reuters

London: Roberto Firmino, Naby Keita, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain akan meninggalkan Liverpool selepas kontrak mereka tamat hujung musim ini, menurut kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu awal pagi tadi.

Kesemua pemain itu antara anggota skuad yang menjuarai Liga Juara-Juara 2019 dan membantu kelab memenangi gelaran EPL pertama mereka dalam tempoh 30 tahun pada musim 2019-20.

"Kami ucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas sumbangan cemerlang mereka kepada kelab," kata Liverpool dalam kenyataannya.

"Kuartet ini akan memulakan era baharu dalam karier mereka selepas penutup musim 2022-23. Mereka membantu Reds meraih gelaran utama sepanjang karier di Anfield.

"Kami berdoa Roberto, Naby, James, Alex dan keluarga mereka terus memperoleh masa depan yang cemerlang."

Firmino yang menyertai Liverpool pada 2015, beraksi di sisi Mohamed Salah dan Sadio Mane yang membentuk trio berbisa di bawah kendalian pengurus Juergen Klopp. Dia menjaringkan 80 gol dalam 254 aksi liga dan antara pemain kegemaran penyokong.

Firmino yang berusia 31 tahun bagaimanapun tidak beraksi sejak pertengahan April susulan kecederaan otot manakala Milner yang turut berpindah dari Manchester City pada 2015 tampil 330 perlawanan bersama kelab.

Pemain berusia 37 tahun itu jarang mengecewakan ketika khidmatnya diperlukan tetapi sejak beberapa musim lalu dia kerap memanaskan bangku simpanan.

Keita yang dibeli dari RB Leipzig dengan yuran 50 juta pound (RM282 juta) meledak 11 gol dalam 129 perlawanan sejak berpindah ke Anfield pada 2018. Namun pemain berusia 28 tahun itu hanya beraksi 12 perlawanan musim ini selepas pulih kecederaan.

Oxlade-Chamberlain pula hanya tampil 13 perlawanan. Dia berpindah dari Arsenal pada 2017 dan beraksi 146 kali dan menjaringkan 18 gol.

Liverpool kini berada di tangga kelima EPL dengan 65 mata, satu mata di belakang pasukan di tangga keempat Manchester United yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Selepas menentang Aston Villa di tempat sendiri Sabtu ini, Liverpool akan menamatkan musim dengan berkunjung ke Southampton pada 28 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 8:23 AM