PAVARD (jersi no 2) meraikan jaringannya bersama kapten Perancis, Kylian Mbappe dan rakan sepasukan lain. FOTO Reuters
PAVARD (jersi no 2) meraikan jaringannya bersama kapten Perancis, Kylian Mbappe dan rakan sepasukan lain. FOTO Reuters
AFP

Dublin: Benjamin Pavard melengkapkan kepulangan semula dalam tugasan antarabangsa apabila menjaringkan gol tunggal yang membantu Perancis mengatasi Ireland 1-0 pada perlawanan kelayakan Euro 2024, awal pagi tadi.

Kemenangan itu bermakna finalis Piala Dunia Qatar 2022 itu memenangi kedua-dua perlawanan awal Kumpulan B selepas membelasah Belanda 4-0, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, penjaga gol Perancis, Mike Maignan dipaksa dua kali menyelamatkan keadaan di hujung perlawanan termasuk menghalang tandukan Nathan Collins, sekali gus menafikan satu mata buat tuan rumah.

Pavard yang juga pemain pertahanan Bayern Munich membuat penampilan pertama bersama Perancis sejak perlawanan pembukaan peringkat kumpulan di Qatar 2022 dan dia menjaringkan gol lima minit selepas babak kedua bersambung hasil kesilapan pemain pertahanan Ireland, Josh Cullen.

Tetapi, Perancis yang menduduki ranking ketiga dunia dipaksa bekerja keras oleh Ireland yang ketinggalan 45 tangga di belakang.

"Bukan mudah berdepan pasukan yang sentiasa mengasak dan tidak mudah mengalah," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

"Apapun, enam mata adalah keputusan yang hebat. Tahniah kepada pemain, tetapi perjalanan masih terlalu jauh."

Mengulas mengenai Pavard, Deschamps berkata: "Dia berada pada landasan tepat dan jaringannya memastikan kemenangan milik kami.

"Semua orang boleh mengalami penurunan prestasi dan sekarang dia kembali mencapai tahap terbaiknya."

Pemain sayap Ireland, Chiedozie Ogbene memuji persembahan pasukannya dengan berkata: "Kami patut bangga, kami melawan salah satu pasukan terbaik di dunia dan masa depan kami sangat cerah."

Seamus Coleman mengatasi kecederaan paha untuk menjadi kapten Ireland dalam satu daripada enam perubahan dilakukan ke atas barisan yang menang 3-2 ke atas Latvia pada aksi persahabatan, Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 8:21 AM