TCHOUAMENI meraikan kejayaannya meledak gol bersama rakan pasukan, Kylian Mbappe dan Theo Hernandez. -FOTO Reuters
TCHOUAMENI meraikan kejayaannya meledak gol bersama rakan pasukan, Kylian Mbappe dan Theo Hernandez. -FOTO Reuters
AFP

Paris: Jaringan mengagumkan Aurelien Tchouameni membolehkan Perancis menang selesa 2-0 mengatasi Ireland pada perlawanan kelayakan Euro 2024 ketika Les Bleus memastikan tempat ke pusingan akhir tahun depan di Jerman.

Pemain tengah Real Madrid, Tchouameni membuka jaringan dengan sepakan menakjubkan buat kali pertama jauh ke penjuru pada minit ke-19 dan pemain gantian, Marcus Thuram menambah kelebihan sejurus selepas babak kedua bersambung.

Finalis Piala Dunia yang tewas tahun lalu itu kini meraih mata maksimum iaitu 15 mata dan masih belum melepaskan sebarang gol selepas lima perlawanan dalam kempen kelayakan Kumpulan B yang mana mereka kini mendahului dengan jurang sembilan mata ke atas Belanda dan Greece.

"Ia satu langkah yang penting. Kami menikmati kempen yang sempurna setakat ini tetapi kami tidak akan berpuas hati dengan kejayaan kami," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Ireland, dengan hanya tiga mata selepas empat perlawanan, pastinya perlu menewaskan Belanda di tempat sendiri Ahad ini bagi mengekalkan peluang realistik untuk mara.

"Saya tidak boleh menyalahkan pemain saya. Saya mereka sudah memberikan segala-galanya," kata pengurus Ireland, Stephen Kenny.

"Mereka ditewaskan dengan pasukan yang lebih baik pastinya. Perancis secara keseluruhannya cemerlang dan bagi kebanyakan pemain ia adalah pasukan terbaik yang pernah mereka lawan."

"Banyak perkara yang perlu dilakukan serta difikirkan berhubung dan bagaimana kami akan bermain selepas malam ini."

Turun beraksi perlawanan ke-900 dalam sejarah mereka, Perancis adalah pasukan terbaik dengan cara mereka bermain dan fizikal mereka, keupayaan teknikal yang jauh lebih unggul sehingga Ireland hampir tiada peluang di Parc des Princes.

Sementara itu dalam aksi Kumpulan E, Robert Lewandowski menjaringkan dua gol lewat perlawanan untuk membolehkan Poland menewaskan Kepulauan Faroe 2-0 di Warsaw.

Manakala Republik Czech terikat 1-1 dengan Albania di Prague.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 7:38 AM