KEDUDUKAN undian kumpulan peringkat kelayakan Euro 2024.
KEDUDUKAN undian kumpulan peringkat kelayakan Euro 2024.
AFP

Frankfurt: Juara bertahan, Itali, hari ini, diundi berdepan England iaitu pasukan ditewaskan di final tahun lalu, pada peringkat kumpulan kelayakan Kejohanan Eropah (Euro 2024).

Euro 2024 yang akan diadakan di Jerman menjadi peluang Itali memulihkan maruah selepas gagal ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Qatar, enam minggu lagi.

Itali menewaskan England yang juga tuan rumah Euro 2020 di Wembley menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Itali turut mara ke empat pasukan terakhir Liga Negara-Negara dan menyingkirkan England ke Liga B, menyebabkan dua pasukan itu diundi dalam Kumpulan C kelayakan Euro 2024 bersama Ukraine, Macedonia Utara dan Malta.

Berikutan tersingkir, England diletakkan dalam Balang 2 undian di Frankfurt manakala Itali antara pasukan pilihan di peringkat kelayakan.

Jurulatih Itali, Roberto Mancini berkata: "Saya tahu kami akan bertemu sama ada England atau Perancis, tetapi ia OK. Ia adalah kumpulan lima pasukan yang mencabar, tiada perlawanan mudah, kami perlu bersungguh-sungguh."

Italy pasti bimbang bertemu Macedonia Utara iaitu pasukan Balkan yang menyingkirkan mereka di playoff Piala Dunia di Palermo, Mac lalu.

"Ia adalah satu perlawanan penting dan sekali lagi, sama seperti anda saksikan di Palermo, kami perlu menghadapi semua perlawanan dengan serius walaupun ia kelihatan mudah," kata Mancini kepada RAI Sport.

Jurulatih England, Gareth Southgate berkata kepada BBC: "Memang menarik kami mendapat jadual seperti dilalui sebelum ini dan bermain menentang mereka lagi, sama seperti dihadapi sebelum ini."

Perancis yang bakal mempertahankan gelaran di Piala Dunia di Qatar, diundi bersama Belanda, Republik Ireland, Greece dan Gibraltar dalam Kumpulan B.

Senarai kumpulan kelayakan Euro 2024

KUMPULAN A: Sepanyol, Scotland, Norway, Georgia, Cyprus

KUMPULAN B: Belanda, Perancis, Republik Ireland, Greece, Gibraltar

KUMPULAN C: Itali, England, Ukraine, Macedonia Utara, Malta

KUMPULAN D: Croatia, Wales, Armenia, Turkiye, Latvia

KUMPULAN E: Poland, Republik Czech, Albania, Faroe Islands, Moldova

KUMPULAN F: Belgium, Austria, Sweden, Azerbaijan, Estonia

KUMPULAN G: Hungary, Serbia, Montenegro, Bulgaria, Lithuania

KUMPULAN H: Denmark, Finland, Slovenia, Kazakhstan, Ireland Utara, San Marino

KUMPULAN I: Switzerland, Israel, Romania, Kosovo, Belarus, Andorra

KUMPULAN J: Portugal, Bosnia-Herzegovina, Iceland, Luxembourg, Slovakia, Liechtenstein

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 10:22 PM