PAVARD (tengah) menjaringkan gol kedua menerusi tandukan menewaskan penjaga gol Scotland, Liam Kelly. FOTO AFP
PAVARD (tengah) menjaringkan gol kedua menerusi tandukan menewaskan penjaga gol Scotland, Liam Kelly. FOTO AFP
AFP

Lille: Pemain pertahanan, Benjamin Pavard menjaringkan dua gol dan Kylian Mbappe menyempurnakan sepakan penalti ketika Perancis bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Scotland 4-1 dalam aksi persahabatan di Lille, awal pagi tadi.

Sepak mula ditangguhkan 10 minit berikutan langkah keselamatan yang dipertingkatkan selepas dua warga Sweden ditembak mati dalam serangan di Brussels, semalam sebelum perlawanan kelayakan Euro 2024 antara Belgium dan Sweden yang kemudiannya ditangguhkan.

Billy Gilmour meletakkan Scotland di depan pada minit ke-11 selepas kesilapan dilakukan oleh Eduardo Camavinga.

Bagaimanapun Perancis, yang mengesahkan tiket ke Euro 2024 minggu lalu seperti Scotland, menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi gol Pavard.

Pavard kemudian muncul pemain Perancis pertama yang menjaringkan dua gol menerusi tandukan pada perlawanan sama sejak Zinedine Zidane melakukannya di final Piala Dunia 1998, iaitu di minit ke-24.

"Saya rasa saya boleh menjaringkan gol malam ini," kata Pavard, yang meninggalkan Bayern Munich untuk berhijrah Inter Milan, Ogos lalu.

"Seseorang memberitahu saya 'Anda akan menjaringkan gol' dan saya dapat menjaringkan dua gol, jadi ia lebih baik," katanya lagi.

Mbappe, yang menjaringkan dua gol ketika kemenangan 2-1 di Belanda Jumaat lalu sekali gus memastikan Perancis layak ke Euro 2024, menjaringkan gol ketiga untuk tuan rumah menerusi sepakan penalti selepas Liam Cooper dihukum kerana mengasari Olivier Giroud.

Kingsley Coman menjaringkan gol keempat ketika berbaki 20 minit permainan.

Perancis akan melengkapkan kempen kelayakan Euro 2024 dengan menentang Gibraltar dan Greece bulan depan.

Skuad bimbingan Didier Deschamps sudah melakar enam kemenangan daripada enam perlawanan dalam Kumpulan B dan pasti kekal menduduki tangga teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 9:18 AM