B Sathianathan. FOTO NSTP
B Sathianathan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bagaikan ada sinar dihujung terowong buat bekas pengendali Sarawak United, B Sathianathan apabila akhirnya jawatankuasa status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan mantan majikannya membayar tunggakan gaji untuk tempoh lima bulan.

Tanpa mendedahkan jumlah yang perlu keseluruhan perlu dibayar Sarawak United itu, Sathianathan melihat itu adalah permulaan sebuah perjuangan untuk menuntut keadilan terhadap kelab yang gagal melunaskan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, penantian lebih lapan bulan ternyata berbaloi apabila keputusan jawatankuasa itu akhirnya memihak kepada dirinya sekali gus Sarawak United perlu membayar segera bagi mengelak dikenakan tindakan susulan.

"Baru-baru ini jawatankuasa status FAM sudah bermesyuarat dan memutuskan pihak Sarawak United perlu membayar segala tunggakan gaji ketika saya bersama pasukan itu.

"Tunggakan itu bukanlah pengakhiran kerana hanya permulaan kepada tuntutan lain yang masih lagi dalam perbincangan untuk diselesaikan.

"Saya tidak tahu mereka (Sarawak United) boleh bayar atau tidak namun apabila keputusan sudah dikeluarkan mereka perlu melunaskannya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Sathianathan mendedahkan bahawa Sarawak United gagal menjelaskan gajinya untuk tempoh lima bulan selain turut berhadapan masalah pembayaran membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengikut rekod, beliau menamatkan kontrak membabitkan persetujuan bersama Sarawak United atas faktor kesihatan pada 12 Jun tahun lalu.

Difahamkan, Sarawak United berhutang dengan bekas pengendali Selangor FC itu mencecah hampir setengah juta ringgit membabitkan pelbagai bayaran termasuklah kos rawatan hospital.

Sementara itu, Sathiananthan berkata, beliau tidak akan berdiam diri jika Sarawak United masih lagi liat untuk membuat pembayaran tunggakan gaji terbabit dengan akan mengambil tindakan susulan supaya haknya terbela.

"Saya beri masa kepada Sarawak United untuk membuat pembayaran seperti diarahkan jawatankuasa itu namun tidak akan duduk diam jika mereka gagal melunaskan dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 1:19 PM