SATHIANATHAN menunggu gaji bagai menanti buah yang tak gugur.
SATHIANATHAN menunggu gaji bagai menanti buah yang tak gugur.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesabaran jurulatih berpengalaman B Sathianathan sudah melepasi hadnya apabila beliau akan membawa kes tunggakan gaji membabitkan bekas majikannya Sarawak United ke mahkamah sivil dalam tempoh terdekat ini.

Tindakan nekad itu diambil Sathianathan yang juga bekas jurulatih Selangor dan Kelantan selepas mendapati pengurusan Sarawak United dan kerajaan negeri tiada inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji itu.

Beliau berkata, walaupun jawatankuasa status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah bermesyuarat dan memutuskan pihak Sarawak United perlu membayar segala tunggakan gaji pada Mac lalu namun sehingga kini pasukan terbabit gagal berbuat demikian sehingga menyebabkannya hilang sabar.

"Sampai sekarang tak ada jawapan daripada mereka (Sarawak United). Walaupun sudah ada keputusan daripada FAM dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa( Fifa) namun mereka buat tak tahu saja.

"Saya boleh katakan, jika perkara ini terus berlaku baik tutup saja industri bola sepak kerana pemilik pasukan tidak mahu mengikut undang-undang yang sudah ditetapkan.

"Jika diikutkan nak pergi ke mahkamah bukan senang. Sekarang ini, siapa lagi mahu tolong bila mereka tak nak bayar tunggakan gaji," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Sathianathan mendedahkan Sarawak United gagal menjelaskan gajinya untuk tempoh lima bulan selain turut berhadapan masalah pembayaran membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengikut rekod, beliau menamatkan kontrak membabitkan persetujuan bersama Sarawak United atas faktor kesihatan pada 12 Jun tahun lalu.

Difahamkan, Sarawak United berhutang dengan bekas pengendali Selangor FC itu mencecah hampir setengah juta ringgit membabitkan pelbagai bayaran termasuklah kos rawatan hospital.

Namun, pada Mac lalu jawatankuasa status FAM suah mengarahkan mantan majikannya membayar tunggakan gaji untuk tempoh lima bulan.

Tanpa mendedahkan jumlah keseluruhan perlu dibayar Sarawak United itu, Sathianathan melihat itu permulaan sebuah perjuangan untuk menuntut keadilan terhadap kelab yang gagal melunaskan tanggungjawab mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 3:22 PM