SARAWAK United berhutang dengan Sathia RM345,000 membabitkan tunggakan lima bulan gaji. FOTO Effendy Rashid
SARAWAK United berhutang dengan Sathia RM345,000 membabitkan tunggakan lima bulan gaji. FOTO Effendy Rashid
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kantung Sarawak United boleh dikatakan semakin tenat apabila Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pasukan itu perlu membayar hampir setengah juta kepada dua bekas jurulatih mereka.

Situasi terbabit disahkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman sambil menjelaskan bekas jurulatih Sarawak United, B Sathianathan boleh dikatakan menerima 'durian runtuh' selepas jawatankuasa terbabit mengarahkan mantan majikannya itu membayar RM345,000 membabitkan tunggakan lima bulan gaji.

Katanya, pengendali skuad Bawah 22 tahun negara E Elavarasan yang pernah mengendali Sarawak United turut terkena tempias selepas pasukan itu diarahkan melunaskan RM85,638 dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Boleh dikatakan Sarawak United perlu membayar hampir setengah juta kepada dua bekas jurulatih mereka berdasarkan tunggakan gaji dan beberapa tuntutan lain," katanya, ketika ditemui Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bahawa Jawatankuasa Status FAM mengarahkan Sarawak United membayar tunggakan gaji lima bulan kepada Sathiananthan.

Sathianathan berkata, situasi terbabit sekali gus adalah permulaan kepada sebuah perjuangan untuk menuntut keadilan terhadap kelab yang gagal melunaskan tanggungjawab mereka.

Selain itu, mengikut rekod, Elavarasan pula mengendali Sarawak United selama dua tahun bermula 2020.

Hutang membabitkan Elavarasan dipercayai ketika jurulatih berusia 62 tahun itu mengendali Sarawak United dua tahun lalu.

Beliau kemudiannya melepaskan jawatan terbabit pada tahun lalu selepas dilantik secara rasmi sebagai pembantu kepada jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:04 PM