SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. FOTO FB FAM
SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain Melaka United boleh tersenyum buat sementara waktu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan pemilik pasukan terbabit membayar tunggakan gaji bagi musim lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, Jawatankuasa Status badan induk itu yang bermesyuarat baru-baru menetapkan keputusan terbabit, sekali gus memberi harapan kepada barisan pemain Melaka United untuk mendapatkan tunggakan gaji kira-kira enam bulan.

Namun, beliau berkata, pemain Sarawak United pula perlu menunggu kerana Jawatankuasa Status FAM belum lagi menetapkan keputusan membabitkan tunggakan gaji yang melanda pasukan terbabit.

"FAM menerusi Jawatankuasa Status sudah mengarahkan pemilik Melaka United untuk membayar segala tunggakan gaji manakala keputusan membabitkan Sarawak United pula akan diumumkan dalam waktu terdekat ini," katanya.

Terdahulu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan Melaka United berhutang tunggakan gaji berjumlah RM2.3 juta kepada pemainnya.

Tunggakan gaji yang bermula dari Julai hingga Disember 2022 itu menyebabkan pemain Melaka United berdepan dengan situasi enam bulan tidak bergaji.

Situasi sama turut melanda Sarawak United apabila pengurusan pasukan terbabit turut berhutang RM400,000 kepada pemain apabila gagal menjelaskan tunggakan gaji mereka untuk musim lalu.

Berikutan itu, Sarawak United dan Melaka United tidak dibenarkan beraksi di Liga Super selepas gagal dalam rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB).

Ini menyaksikan dua pasukan terbabit terpaksa beraksi di Liga M3 pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 7:20 PM