HANNAH (tengah) bersama Ab Ghani (tiga kanan) ketika sidang media KBS dan MFL : Kerjasama Bagi Tayang Skrin Besar Perlawanan Liga Super 2023 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
HANNAH (tengah) bersama Ab Ghani (tiga kanan) ketika sidang media KBS dan MFL : Kerjasama Bagi Tayang Skrin Besar Perlawanan Liga Super 2023 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Syazwan Msar


Putrajaya: Penyokong bola sepak tempatan mempunyai pilihan untuk menonton siaran langsung perlawanan Liga Super apabila Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyediakan tayangan skrin besar di negeri terpilih bermula hari ini.

Siaran langsung menerusi tayangan skrin besar itu akan bermula bulan ini dengan empat venue dipilih sebagai antara program untuk menyemarakkan lagi sukan bola sepak disamping memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, program ini adalah kesinambungan daripada sambutan hangat masyarakat setempat ketika ia diadakan bersempena Kejohanan Piala AFF dan Piala Dunia Hoki di Odisha, India.

"Berdasarkan data yang kita peroleh, acara skrin besar ketika Piala AFF banyak dihadiri oleh keluarga dan kami mahu teruskan 'trend' ini.

"Penyokong boleh keluar memeriahkan program ini kerana ia akan membantu kelangsungan program ini di masa hadapan berdasarkan sambutan daripada penyokong.

"KBS bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin dan program ini juga dilihat dapat membantu ekonomi setempat," katanya pada sidang media di Menara KBS, hari ini.

Sementara itu, Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan turut mengucapkan terima kasih kepada KBS atas usaha murni untuk membantu memeriahkan lagi Liga Malaysia musim ini.

"Program skrin besar ini diadakan di negeri yang pada ketika itu pasukan bola sepak mereka beraksi di tempat lawan.

"Ia untuk merapatkan hubungan komuniti dan beri peluang untuk menonton bola sepak serta sokongan, sekali gus membantu meningkatkan lagi kemeriahan Liga Malaysia," katanya.

Bagi Mac 2023, sebanyak empat venue dipilih iaitu Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu untuk perlawanan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC pada 1 Mac dengan Kompleks Belia Dan Sukan Batu Uban pula sebagai lokasi kedua pada 5 Mac untuk perlawanan membabitkan Kelantan FC dan Penang FC.

Perlawanan Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC pada 11 Mac boleh ditonton di Kompleks Belia Dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan sementara Dataran Starwalk, Alor Star bakal menjadi lokasi skrin gergasi untuk menonton perlawanan antara Kelantan United FC dan Kedah Darul Aman FC pada 13 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 8:26 PM