Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hampir lima bulan stadium sepi akhirnya suasana bakal berubah dengan sorakan penyokong pada penghujung Oktober ini apabila pintu venue berkenaan akhirnya dibuka kepada orang ramai untuk menyaksikan saingan Piala Malaysia.

Mengesahkan perkara terbabit, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, beliau amat berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas keputusan itu yang dilihat bukan sahaja memberikan perkhabaran gembira buat penyokong bola sepak tempatan malah bakal menyemarakkan kembali industri bola sepak negara.

"Selepas penyokong tidak dibenarkan masuk sejak 9 Mei lalu akibat lonjakan kes Covid-19 di negara ini, inilah perkhabaran gembira yang ditunggu-tunggu oleh kita semua khususnya penyokong-penyokong yang amat merindukan aksi bola sepak di stadium. Apatah lagi dalam suasana ketika kita semua meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung," katanya.

Jelas Ab Ghani, pihak MFL amat memahami keinginan penyokong untuk segera hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan di stadium selepas mendapat kebenaran kerajaan namun badan pengelola liga itu dan semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia perlu membuat persiapan terlebih dahulu sebelum menerima kehadiran 'pemain ke-12' ke stadium.

"MFL membuat keputusan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bermula perlawanan minggu ketiga Piala Malaysia iaitu pada 29 Oktober depan, ini kerana saingan itu akan berehat seketika selepas perlawanan minggu kedua esok bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa skuad kebangsaan.

"Pihak MFL juga masih menunggu peratusan kemasukan penyokong ke stadium di negeri-negeri mengikut fasa 2, 3 dan 4 yang akan dimaklumkan oleh KBS bersama dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sukan yang ditetapkan.

"MFL juga akan membuat keputusan sama ada akan membenarkan penyokong masuk ke stadium jika ada pasukan merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan ketika tempoh Piala Malaysia berehat apabila kami mendapat SOP terperinci daripada KBS nanti.

"Justeru, tempoh yang ada ini akan digunakan MFL untuk memperincikan SOP kemasukan penyokong ke stadium bersama MKN dan KKM selain pasukan diberikan masa untuk membuat persiapan di venue pertandingan sebelum menerima kehadiran penyokong.

Ini penting bukan sahaja untuk melancarkan pengelolaan perlawanan malah bagi menjamin keselamatan semua pihak yang hadir ke stadium.

"MFL amat menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan kerana kita mahu kebenaran daripada pihak kerajaan ini dibuka untuk tempoh lebih lama dan saya meminta kepada semua khusus kepada penyokong supaya sentiasa berdisiplin mematuhi SOP yang ditetapkan dalam memastikan tiada kes Covid-19 berlaku sepanjang mereka turun ke stadium," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan mengumumkan berita gembira buat peminat sukan tanah air apabila mereka dibenarkan memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan atau acara sukan.

Ismail berkata kebenaran itu diberikan selepas tiada lagi negeri yang berada dalam Fasa 1 susulan Kedah yang beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2 sekali gus menyaksikan beberapa kelonggaran baharu dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:27 PM