AB Ghani berkata  kedua-dua perlawanan simulasi ini cukup penting bagi mendapatkan kelulusan membenarkan kelab membawa penonton ke stadium. FOTO NSTP
AB Ghani berkata kedua-dua perlawanan simulasi ini cukup penting bagi mendapatkan kelulusan membenarkan kelab membawa penonton ke stadium. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua perlawanan percubaan yang bakal berlangsung dengan kehadiran penonton boleh dikatakan sebagai penanda aras untuk terus mendapatkan kebenaran bagi membawa masuk penyokong ke stadium.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, dua perlawanan Liga Super keenam iaitu pertemuan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Melaka United FC pada 2 April 2021 dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah FC pada 3 April 2021 bakal dijadikan projek perintis bagi perlawanan kemasukan penonton pada Liga Malaysia musim ini.

Beliau berkata, kedua-dua perlawanan simulasi ini cukup penting bagi mendapatkan kelulusan membenarkan kelab membawa penonton ke stadium melalui proses penilaian MFL di mana venue itu layak jika memiliki kriteria lengkap berdasarkan syarat ditetapkan.

"MFL ingin merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang telah membenarkan penonton kembali ke stadium pada bulan ini.

"Ini adalah satu petanda positif kepada semua penyokong terutama industri bola sepak sendiri di mana hanya kejohanan bola sepak sahaja dibenarkan penonton ke stadium.

"Bagaimanapun, MFL tetap akan memastikan gelembung sukan kekal terpelihara serta terus mengekalkan amalan operasi prosedur standard (SOP) di sebalik kebenaran kemasukan penonton bermula bulan depan.

"Nasihat saya kepada penyokong, sama-sama kita mengekalkan pematuhan SOP dalam misi memutuskan rantaian pandemik Covid-19 dan ingatlah bahawa jangan kita tidak memanfaatkan peluang ini selepas pihak kerajaan membenarkan penonton ke stadium," katanya, di sini.

Selain itu, Ghani turut berharap kesemua pasukan akan sentiasa kekal patuh dengan setiap SOP di mana setiap pasukan sudah diberikan kebenaran mengadakan program latihan berpusat secara gelembung menerusi dua kaedah iaitu 'Home' dan 'Camp Quarantine'.

"MFL menyedari bahawa ia bukan satu perkara mudah bagi industri bola sepak negara buat masa ini tetapi saya percaya keharmonian Liga Malaysia akan kekal terjaga jika kita semua memainkan peranan sebagaimana kita telah berjaya lakukan iaitu bebas daripada sebarang kluster sepanjang penganjuran Liga Malaysia bagi musim 2020.

"Malah harapan MFL juga adalah kami mahu venue diceriakan oleh penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

"Saya juga mahu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di atas sokongan kepada bola sepak tempatan sepanjang Liga Malaysia berlangsung pada musim 2020 dan musim 2021," katanya.

Sebelum itu, penyokong bola sepak negara akhirnya boleh melepaskan kerinduan masing-masing untuk menonton perlawanan Liga Malaysia secara langsung apabila kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium berdasarkan kapasiti venue dan status terkini kawasan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, ahli jawatankuasa mesyuarat menerusi persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium menerusi standard operasi prosedur (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, kebenaran kehadiran penonton mengikut status kawasan berkenaan iaitu lokasi dalam status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan 10 peratus atau maksimum 2,000 penonton saja.

Katanya, kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pula dibenarkan lebih ramai penonton iaitu 25 peratus kapasiti stadium dengan maksimum kehadiran adalah 8,000 penonton.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 8:26 PM