AB Ghani mahu penyokong bola sepak tanah air mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk tidak berkumpul di perkarangan stadium. FOTO NSTP
AB Ghani mahu penyokong bola sepak tanah air mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk tidak berkumpul di perkarangan stadium. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Patuhi garis panduan yang ditetapkan dan jika gagal akan terus berdepan hukuman tidak dibenarkan lagi untuk hadir ke stadium menyokong pasukan masing-masing.

Itu peringatan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani yang mahu penyokong bola sepak tanah air mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan termasuk tidak berkumpul di perkarangan stadium bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, usaha membawa masuk penyokong ke stadium bukanlah perkara mudah kerana perlu membentangkan banyak perkara selain perlu melakukan perjumpaan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Malah, jika penyokong 'buat hal' ketika menonton perlawanan bola sepak dikhuatiri kebenaran terbabit akan ditarik balik pada masa akan datang.

"Saya minta penyokong setiap pasukan patuhi garis panduan dan SOP yang ditetapkan nanti supaya kita boleh mengekang penularan Covid-19.

"Jika gagal berbuat demikian, apa yang boleh saya katakan adalah kebenaran terbabit akan ditarik balik dan pasukan mereka bermain tanpa penyokong.

"Dalam hal ini, perkara utama adalah keselamatan semua pihak dan untuk itulah kami memandang serius jika ada pelanggaran SOP atau enggan mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, penyokong bola sepak negara akhirnya boleh melepaskan kerinduan masing-masing untuk menonton perlawanan Liga Malaysia secara langsung apabila kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium berdasarkan kapasiti venue dan status terkini kawasan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, ahli jawatankuasa mesyuarat menerusi persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium menerusi standard operasi prosedur (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, kebenaran kehadiran penonton mengikut status kawasan berkenaan iaitu lokasi dalam status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan 10 peratus atau maksimum 2,000 penonton saja.

Katanya, kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pula dibenarkan lebih ramai penonton iaitu 25 peratus kapasiti stadium dengan maksimum kehadiran adalah 8,000 penonton.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 11:44 PM