SKUAD NSFC yang beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Perak FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu lalu. FOTO Ihsan NSFC
SKUAD NSFC yang beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Perak FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu lalu. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) mengumumkan pelancaran pas bermusim sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini yang akan membuka tirainya, 24 Februari ini.

NSFC dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan Negeri Sembilan dijangkakan akan berentap di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan jumlah perlawanan minimum 15 kali bagi saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Harga tiket bagi setiap perlawanan musim ini telah ditetapkan pada kadar RM30 (dewasa, astaka) dan RM15 (kanak-kanak), manakala bagi tempat duduk terbuka ditetapkan pada kadar RM15 (dewasa) dan RM9 (kanak-kanak).

"Pihak kelab menawarkan diskaun hebat hampir 30 peratus berserta manfaat tambahan kepada peminat yang mendapatkan pas bermusim NSFC 2023.

"Pas bermusim ini ditawarkan dari serendah RM89 sehingga RM2,000 semusim, manakala corporate box juga ditawarkan berdasarkan permintaan terus kepada pihak kelab.

"Tempahan pas ini boleh dibuat melalui store.nsfc1923.com bermula hari ini sehingga 24 Februari 2023," kata kenyataan itu.

Selain itu, NSFC dan penaja rasmi pakaian musim ini, KELME juga turut mengesahkan bahawa kedua-dua kit baharu musim ini akan menampilkan ketiga-tiga warna negeri dalam rekaannya.

Kit berwarna merah akan kekal sebagai kit utama, manakala kit berwarna kuning akan digunakan di tempat lawan dengan kedua-duanya akan dijual pada harga RM129 sehelai.

Kedua-dua kit ini akan dilancarkan secara dalam talian pada 18 dan 25 Februari, manakala majlis pengenalan pasukan NSFC 2023 akan diadakan di GEMBOX Nilai pada 19 Februari.

Negeri Sembilan yang dibimbing K Devan dijadual akan menentang Sri Pahang FC dalam aksi pertama Liga Super 2023 pada 26 Februari di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 2:32 PM