KELME akan menjadi penaja kit rasmi Negeri Sembilan. FOTO FB NSFC
KELME akan menjadi penaja kit rasmi Negeri Sembilan. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) mendapat suntikan semangat menjelang persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak lama lagi, apabila pengeluar pakaian sukan antarabangsa, KELME menjadi penaja rasmi pasukan itu.

Kelab berkenaan mengumumkan kerjasama rasmi dengan KELME bagi tempoh dua tahun yang membabitkan penajaan kit rasmi pasukan Negeri Sembilan bernilai RM1.7 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Satwant Singh berkata, KELME yang berpangkalan di Sepanyol akan muncul sebagai Rakan Teknikal Rasmi NSFC bagi skuad Liga Super Malaysia, Liga Bawah 23 Tahun Negeri Sembilan, Piala Presiden dan Piala Belia bermula tahun ini.

Katanya, pemilihan KELME sebagai penaja kit baharu adalah satu manifestasi hasrat NSFC yang ingin berkembang sebagai sebuah kelab bola sepak yang berdaya saing.

"Usahasama dengan KELME selama dua tahun ini bukan sahaja membabitkan penajaan kit pasukan, malah akan turut memberikan manfaat pemasaran dan komersial yang sangat diperlukan untuk kita bersaing di dalam era penswastaan pasukan.

"Dari segi rekaan kit pasukan menjelang musim baharu, skuad Hobin Jang Hobin akan mengekalkan elemen warna-warna kebanggaan Negeri Sembilan iaitu kuning, merah dan hitam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah KELME Malaysia, Louis Fun Chen Wai, menyifatkan kerjasama yang termeterai akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata, NSFC menjadi satu-satunya pasukan dalam Liga Malaysia yang akan ditaja KELME bermula musim akan datang.

Katanya, lebih manis, NSFC akan menyambut ulang tahun bola sepak Negeri Sembilan yang ke-100 pada tahun ini.

"Justeru itu, kami berbesar hati untuk bersama-sama meraikannya melalui rekaan dan inovasi yang lebih dekat dengan peminat," ujarnya.

Sebagai rekod, selain NSFC, KELME juga adalah penaja rasmi bagi pasukan bola sepak peringkat antarabangsa yang lain seperti pasukan bola sepak kebangsaan Filipina, pasukan La Liga, RCD Espanyol dan pasukan Liga Bola Sepak Inggeris, WaWord FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 2:12 PM