AZZMI diberi kepercayaan sebagai pengendali NSFC, musim ini. FOTO NSFC
AZZMI diberi kepercayaan sebagai pengendali NSFC, musim ini. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) menamatkan spekulasi apabila mengumumkan bekas pembimbing Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Azzmi Ab Aziz sebagai ketua jurulatih kelab itu bagi menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Jurucakap NSFC memaklumkan, Azzmi yang berasal dari Ampang, Selangor menggantikan pengendali sebelum ini, K Devan yang tamat kontrak.

Menurutnya, Azzmi pernah menjadi jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum melatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2020-2022.

Pengendali berusia 49 tahun itu kemudiannya membimbing pasukan Liga Super PDRM FC pada musim 2023.

"Kali ini, Azzmi hadir kembali ke Paroi untuk membimbing skuad Liga Super NSFC dan beliau telah memulakan tugas sejak 15 Februari lalu.

"Pengalaman luasnya dalam arena bola sepak tempatan menjadikan pelantikan beliau dianggap sebagai pilihan yang tepat.

"Beliau terbukti sebagai seorang jurulatih berwibawa dan diyakini mampu membawa pasukan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Difahamkan kelewatan NSFC membuat pengumuman rasmi adalah kerana masalah teknikal iaitu berkaitan lesen kejurulatihan.

Sementara itu, Azzmi berkata, ini adalah musim yang keempat beliau berkhidmat bersama Negeri Sembilan.

Menurutnya, pemilihan pemain NSFC dibuat lebih awal dengan mengekalkan sebahagian pemain musim lalu dan membawa masuk beberapa pemain termasuk bekas pemain PDRM.

"Beberapa pemain lama seperti Nasrullah Hanif, Barathkumar, Afiq Fitri dan Amirul Hakimi pernah bersama saya sebelum ini.

"Adalah sangat penting untuk saya bekerja dengan pemain saya kenal. Berbekalkan sokongan semua pihak, Insya-Allah kita dapat persembahkan bola sepak yang lebih baik dan mendapat keputusan lebih positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 9:02 PM