TUNKU Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri (tengah) bersama pemain NSFC musim ini.
TUNKU Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri (tengah) bersama pemain NSFC musim ini.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) mengesahkan bakal menggunakan khidmat empat pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang akan membuka tirainya pada 24 Februari ini.

Selain pemain musim lalu, Herold Mark Goulon, dari Peranchis yang dikekalkan, pasukan itu turut menerima pemain dari Johor Darul Ta'zim (JDT) secara pinjaman iaitu Levy Madinda yang berasal dari Gabon.

Sementara dua lagi pemain import masing-masing berasal dari Brazil iaitu Anselmo Arruda da Silva, 32, ataupun dikenali sebagai Casagrande, yang juga bekas penyerang Penang FC dan Vinicius Leonel Da Silva, yang julung kali bakal beraksi dalam Liga M.

Ketua jurulatih, K Devan mengesahkan kedudukan keempat-empat pemain import berkenaan yang sekali gus melengkapkan senarai 34 pemain skuad itu musim ini.

"Walaupun kita mempunyai empat pemain import namun hanya tiga sahaja dapat beraksi dalam satu-satu masa kerana pemain yang diambil adalah bagi kategori terbuka dan Negeri Sembilan tidak mengambil pemain import bagi kuota Asean dan Asia.

"Seorang daripada pemain import terbabit hanya akan berada di bangku simpanan dan boleh beraksi jika berlaku pertukaran pemain berkenaan di padang.

"Jadi, kita akan turun setiap kali perlawanan dengan hanya tiga pemain import, kerana dia datang dari kategori terbuka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pemain NSFC dan Penghargaan Kepada Rakan Penaja di Gembox Nilai, di sini, lewat petang tadi.

Majlis disempurnakan Tunku Besar Tampin merangkap Pengerusi NSFC, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan turut hadir, Tunku Zain 'Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Menurut Devan, walaupun terdapat segelintir pasukan yang menggunakan khidmat sehingga sembilan pemain import, namun beliau tidak berasa tertekan dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan hanya menggunakan empat pemain import.

Devan berharap penyokong skuad Hobin Jang Hobin dapat memahami situasi dihadapi kelab itu dalam persiapan menghadapi cabaran Liga M tahun ini kerana ia dibuat berdasarkan kemampuan kewangan kelab berkenaan.

Negeri Sembilan yang menamatkan cabaran Liga Super di tempat keempat musim lalu, bakal menanti kunjungan Sri Pahang FC pada aksi pertama liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 26 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 10:17 PM