AKSI Madinda ketika menentang KL City semalam. FOTO NSFC
AKSI Madinda ketika menentang KL City semalam. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Levy Clemen Madinda melengkapkan senarai tiga pemain import Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang akan bermula 24 Februari.

Sebelum ini, pengurusan kelab berkenaan mengumumkan untuk mengambil hanya tiga orang pemain import musim ini berbanding lima pemain musim lalu.

Selain tonggak pertahanan musim lalu yang berasal dari Perancis, Mark Herold Goulon, 34, yang dikekalkan, pengurusan kelab turut mengumumkan kehadiran Ezechiel Ndouasel, 34, berasal dari Republik Chad.

Levy Madinda, 30, pemain berazal dari Libreville, Gabon bukan asing dalam saingan Liga M kerana pernah beraksi bersama Sabah FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) FC.

NSFC dalam satu kenyataan memaklumkan, pemain berketinggian 1.82 meter itu diperoleh secara pinjaman dari pasukan JDT.

"Levy Madinda akan beraksi di bahagian tengah dan kehadiran beliau pastinya akan membantu bahagian berkenaan dalam pasukan Negeri Sembilan.

"Levy Madinda dipinjamkan dari JDT untuk musim ini. Kami mengucapkan selamat datang buat beliau," kata kenyataan itu hari ini.

Hantaran terbaru di akaun media sosial milik pemain berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikannya peluang untuk menyertai skuad Harimau Selatan.

Malah, pemain terbabit turut membuat penampilan pertama bersama Negeri Sembilan dalam aksi persahabatan menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Perlawanan terbabit berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan Filemon Anyi dan Tchetche Kipre.

Skuad bimbingan K Devan dijadual akan menentang Selangor FC dalam aksi persahabatan seterusnya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Negeri Sembilan yang menamatkan saingan di tempat keempat carta Liga Super musim lalu bakal memulakan cabaran musim ini menentang Sri Pahang FC di laman sendiri, pada 26 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 6:48 PM