OTT dan Willian Lira (kanan) perkasa cabaran Kedah musim ini.
OTT dan Willian Lira (kanan) perkasa cabaran Kedah musim ini.
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Manuel Ott yakin keserasian yang terbina bersama ketua jurulatih Nafuzi Zain sejak musim lalu mampu meningkatkan lagi kemampuannya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Pemain import dari Filipina berusia 30 tahun yang mendapat bimbingan Nafuzi selama satu musim sewaktu bersama Terengganu FC (TFC) musim lalu berkata, persefahaman baik antara dia dan ketua jurulatih itu faktor penting baginya untuk terus memantapkan mutu permainan musim ini bersama Sang Kenari.

"Saya gembira diberi peluang menyertai Kedah dan saya lihat segala perancangan sungguh menarik telah diaturkan pasukan. Ini ruang terbaik untuk saya terus meningkatkan keupayaan pada musim ini.

"Saya sudah merasai corak permainan di bawah kepimpinan Nafuzi sejak musim lalu bersama TFC dan pada pra musim kali ini bersama Kedah saya bersama rakan sepasukan cukup teruja dan bersemangat menantikan perancangannya dalam membentuk corak permainan buat pasukan.

"Saya mahu mengambil peluang terbaik yang hadir pada musim baharu ini untuk memastikan misi dirancang pasukan dapat menghasilkan kejayaan buat semua," katanya ketika Majlis Pengumuman Pasukan Liga Super KDA FC 2023 di House of Sang Kenari semalam.

Penyerang dari Brazil berusia 29 tahun Willian Lira pula turut menyatakan perasaan terujanya terhadap sambutan diberikan penyokong Kedah yang hadir ketika menyaksikan program pengumuman pemain oleh pemilik KDA FC Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar semalam.

"Perasaan saya begitu teruja dengan sambutan penyokong yang bersemangat dan saya begitu berharap dapat memberi sumbangan gol pada musim baru ini nanti," katanya.

KDA FC semalam melengkapkan senarai lima pemain import skuad Liga Super apabila mengumumkan penyerang utama Willian Lira dari Brazil, Manuel Ott (Filipina), Amirbek Juraboev (Tajikistan), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Bojan Ciger (Serbia).

Manakala seorang lagi pemain import Alan Robertson (Afrika Selatan) akan berada bersama skuad Liga Simpanan Kedah dan menjadi pemain sokongan buat Sang Kenari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 2:46 PM