BALOTELLI semakin menyerap keserasiannya bersama skuad Sang Kenari. FOTO IZZALI ISMAIL
BALOTELLI semakin menyerap keserasiannya bersama skuad Sang Kenari. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Jonathan Boareto dos Reis atau digelar Jonathan Balotelli berazam mencipta pencapaian terbaiknya bersama Sang Kenari pada aksi Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Hadir dengan reputasi menarik dan gelaran nama yang sama dengan pemain bola sepak Itali iaitu Mario Balotelli, pemain kelahiran Rio De Janeiro, Brazil berusia 33 tahun ini sedar ketajamannya kini ditagih Sang Kenari dalam misi merebut kejuaraan yang diimpikan dalam aksi Liga M.

Di bawah kendalian Ketua Jurulatih Nafuzi Zain, Balotelli bakal menjadi pilihan tambahan selain penyerang utama yang juga rakan senegaranya Willian Lira bagi mengekalkan ketajaman jentera serangan Sang Kenari.

"Saya gembira berada di sini bersama KDA FC dan dengan sambutan kedatangan cukup mesra yang telah saya diterima daripada kalangan penyokong Kedah, ini mampu menambahkan lagi kekuatan saya untuk fokus memburu gol buat pasukan.

"Saya rasa Liga M kini berada pada tahap yang cukup baik dengan saingan yang dijangka cukup sengit. Pastinya itu satu cabaran utama buat saya, dan saya berazam mahu mencuba usaha yang terbaik buat pasukan pada musim ini.

"Sebaik bersama pasukan, saya kini sedang menyerap keserasian yang diperlukan kerana kita tahu reputasi yang ada pada Kedah sebelum ini dan impian saya adalah membantu Kedah untuk berada dalam kelompok tertinggi Liga M pada musim ini," katanya.

Balotelli juga berkata sebelum hadir ke Malaysia, beliau juga sudah melakukan beberapa persiapan sendiri dengan meneliti corak permainan dalam Liga M secara dalam talian yang disifatkannya cukup kompetitif.

"Saya sedar tiada jalan mudah selain perlu bekerja keras dan menyerap keserasian dengan secepat mungkin bersama pasukan bagi memastikan misi saya bersama skuad Sang Kenari tercapai.

"Saya telah melihat aksi-aksi yang berlangsung dalam Liga M melalui dalam talian sebelum tiba ke Malaysia untuk mendapat sedikit sebanyak gambaran mengenai corak perlawanan dalam Liga M.

"Ini penting untuk saya yang akan menerima arahan dan bimbingan daripada jurulatih dan seterusnya menerapkan corak permainan bersama rakan sepasukan. Ini akan membantu untuk memudahkan proses keserasian dalam pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 2:21 PM