BALOTELLI pemain import selepas Willian Lira. FOTO KDA FC
BALOTELLI pemain import selepas Willian Lira. FOTO KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus memanfaatkan peluang mempertajamkan jentera serangannya apabila mengumumkan seorang lagi penyerang berbisa Jonathan Boareto untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Menerusi maklumat yang dikeluarkan media rasmi KDA FC hari ini, Boareto atau lebih kenali sebagai Jonathan Balotelli adalah penyerang kelahiran Brazil berusia 33 tahun yang kini mengisi kuota pemain import antarabangsa untuk Sang Kenari.

"Boareto diikat bersama KDA FC selama setahun dan rekod beliau di Liga K2 Korea Selatan menarik perhatian pengendali Sang Kenari musim ini Nafuzi Zain.

"Penyerang berusia 33 tahun dan berasal dari Rio De Janeiro pernah mewakili pasukan Jeonnam Dragons FC yang beraksi dalam Liga K2 Korea Selatan," katanya.

Kemasukan Balotelli juga memberi pilihan terbaik di posisi serangan dan juga akan menambah 'sengat' dalam percaturan ruang serangan yang akan direncanakan Nafuzi bagi mempersiapkan skuad yang lengkap pada musim ini.

"Kehadiran Balotelli akan mengisi barisan penyerang Kedah bersama seorang lagi pemain Brazil, Willian Lira dan pemain tempatan Aiman Afif.

"Balotelli akan mula melaporkan dirinya bersama rakan sepasukan di kem latihan Sang Kenari bermula hari ini," katanya.

Balotelli mencatatkan rekod jaringan sebanyak 11 gol melalui 32 penampilannya bersama Joennam Dragon FC sejak musim 2021 hingga 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 9:58 PM