WILLIAN Lira meledakkan dua gol buat KDA FC. FOTO KDA FC
WILLIAN Lira meledakkan dua gol buat KDA FC. FOTO KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat 'revolusi' baharu pada aksi pra-musim dengan kehadiran seramai 16,100 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan menentang TRW Kelantan FC di Stadium Darul Aman semalam.

Rekod kehadiran tertinggi oleh penyokong ini menyemarakkan lagi persiapan rapi yang sedang diatur ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk Sang Kenari musim ini dan ia turut diiringi dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan penyerang utamanya dari Brazil, Willian Lira pada minit ke-53 dan 84.

Nafuzi berkata, beliau merasa sangat terharu dan teruja diatas sambutan bersemangat yang diterima daripada penyokong ke atas pasukannya yang kini dalam proses awal pembentukan dalam mempersiapkan pasukan pada musim ini.

"Saya benar-benar terharu dan gembira dengan kehadiran seramai 16,100 penyokong di Stadium Darul Aman pada perlawanan persahabatan pramusim menentang Kelantan FC pada malam ini.

"Dalam keadaan hujan sebegini mereka masih berdiri teguh dalam memberi sokongan saya merasakan seolah kita kini sudah berada dalam suasana perlawanan yang sebenar saya ingin ucapkan terima buat semua penyokong Sang Kenari.

"Saya rasa mungkin juga ada pemain baharu dalam pasukan Kedah yang merasa sedikit gugup apabila melihat 'situasi' jumlah penyokong yang begitu ramai pada malam ini," katanya.

Nafuzi juga berkata persiapan pada pramusim dilalui ini membuka ruang terbaik untuk menilai kemampuan semua pemain untuk membuktikan mereka benar-benar bersedia memulakan saingan sebenar Liga M pada bulan depan.

"Dari segi momentum persediaan saya lihat ada perbezaan apabila pemain didedahkan dengan corak permainan berintensiti yang lebih tinggi berbanding perlawanan pramusim pertama menentang Perlis United FC pada 13 Januari lalu.

Kedah membariskan pemain import yang antaranya Manuel Ott, Bojan Ciger, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev dan Willian Lira manakala Kelantan FC yang kini dikendalikan oleh jurulatih dari Korea Selatan Choi Moon Sik pula menyenaraikan pemain import antaranya Omid Popalzi, Andreas Esswein dan juga dua pemain import percubaan dari Korea Selatan iaitu pemain sayap Eui Chan Kang dan pemain pertahanan Kim Ming Yu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 2:05 PM