ANTONIO Conte. -FOTO AFP
ANTONIO Conte. -FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte menegaskan semangat Harry Kane akan kembali sepenuhnya apabila penyerang England itu beraksi dalam saingan Liga Perdana selepas kesedihan kegagalan di Piala Dunia.

Kane terlepas sepakan penalti kedua ketika berdepan rakan pasukan Spurs, Hugo Lloris yang menjadi detik penting kekalahan 1-2 England kepada Perancis di suku akhir.

Bagaimanapun, Conte menjangkakan pemain bintang itu akan melupakan kekecewaan itu sekarang apabila kembali ke kelab dengan bermulanya pertembungan menentang Brentford.

"Secara jujurnya (saya tidak bimbang) kerana kita bercakap tentang penyerang bertaraf dunia," kata Conte.

"Dalam bola sepak anda boleh mengalami detik menarik dan anda juga boleh mengalami detik di mana anda agak kecewa kerana anda terlepas sepakan penalti kedua. Yang pertama dia berjaya.

"Saya tidak risau tentang dia. Saya melihatnya dengan baik dan dua hari ini bersama kami."

Tottenham kini berada di tempat keempat dalam carta liga, lapan mata di belakang pendahulu Arsenal, bermain lebih banyak perlawanan berbanding pesaing mereka itu.

Sementara itu kontrak Conte akan tamat selepas berakhirnya musim ini namun Spurs mempunyai pilihan untuk melanjutkannya selama 12 bulan.

"Saya rasa adalah lebih baik tidak bercakap mengenai perkara ini di sidang media kerana adalah lebih baik bercakap mengenai permainan yang kami akan hadapi," kata Conte.

"Dalam kes ini Brentford tapi apa yang saya boleh beritahu anda adalah saya sangat gembira di kelab, bekerja di sini dan saya mempunyai hubungan yang baik dengan kelab.

"Kami bercakap setiap hari dalam mencari setiap penyelesaian terbaik tetapi saya fikir kami mempunyai enam bulan untuk kekal bersama untuk menikmati keadaan kemudian kami ulangi perkara yang sama. Saya gembira di sini.

Spurs akan beraksi tanpa pemain pertahanan Argentina yang memenangi Piala Dunia Cristian Romero di Brentford dengan Lloris hanya diletakkan di bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 8:13 AM