Penjaga gol Perancis, Hugo Lloris. FOTO AP
Penjaga gol Perancis, Hugo Lloris. FOTO AP
Reuters

Doha: Penjaga gol Perancis, Hugo Lloris memberi pesanan pada penyerang England, Harry Kane selepas rakan sepasukan di Tottenham Hotspur itu merembat melepasi palang gol ketika memperoleh penalti kedua pada penghujung permainan ketika tewas 2-1 pada suku akhir Piala Dunia.

Lloris yang juga kapten skuad Perancis, berkongsi kegembiraan pasukan Perancis ketika Kane gagal memanfaatkan peluang untuk menyamakan kedudukan pada aksi yang cukup mendebarkan itu.

Begitupun, menjadi rakan sepasukan dengan Kane di utara London adalah detik terbaik sepanjang sedekad, penjaga gol berusia 35 tahun itu segera mendapatkan penyerang itu yang cukup kecewa apabila wisel tamat perlawanan dibunyikan.

"Ia adalah detik sukar buat pasukan kebangsaan England dan Harry.

"Saya tidak perlu mengulas dengan lebih lanjut. Kami bercakap antara satu sama lain selepas perlawanan itu. Bukan sesuatu yang mudah untuk memperkatakan sesuatu. Dia memerlukan masa untuk berehat.

"Tapi saya fikir dia boleh berbangga dengan apa yang dilakukan untuk pasukan kebangsaannya," kata Lloris.

Lloris dan Kane akan kembali beraksi untuk Tottenham berdepan Brentford pada 26 Disember apabila Liga Perdana Inggeris kembali memulakan saingan.

Lloris percaya Kane, yang menyertai rekod penjaring terbanyak England dan menghampiri rekod sepanjang zaman Jimmy Greaves untuk Tottenham, akan mengenepikan kesilapan itu dan kembali menjaringkan gol untuk kelab serta negaranya.

"Dalam sejarah bola sepak, ramai pemain utama gagal menyempurnakan penalti dalam karier mereka - Lionel Messi, Cristiano Ronaldo -- tetapi saya pasti Harry akan bangkit dan membantu Tottenham serta pasukan kebangsaan menyinar," kata Lloris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 10:50 PM