KANE (kanan) meraikan jaringan ketika menentang Crystal Palace. FOTO AFP
KANE (kanan) meraikan jaringan ketika menentang Crystal Palace. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane akan memecahkan semua rekod jaringan gol apabila dia bersara nanti, kata pengurus kelab, Antonio Conte.

Kapten England berusia 29 tahun itu yanya memerlukan tiga lagi gol untuk muncul penjaring terbanyak Spurs sepanjang zaman selepas menjaringkan dua gol ketika menang 4-0 ke atas Crystal Palace, pagi semalam.

Dua jaringan itu menyaksikan Kane mengumpul 15 gol pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, menjadikan jumlah keseluruhan 264 gols iaitu hanya dua gol di belakang rekod mendiang Jimmy Greaves.

Secara keseluruhan, Kane memiliki 198 gol EPL dan ketinggalan di belakang Alan Shearer (260) dan Wayne Rooney (208).

"Apabila bercakap mengenai Harry, saya fikir agak membazir masa jika mahu menjelaskan mengenai jenis pemain dan kualiti dimilikinya," kata Conte selepas Spurs menang perlawanan pertama daripada tiga aksi apabila kempen bersambung selepas rehat Piala Dunia.

"Saya ulang, kita bercakap mengenai penyerang kelas dunia dan dia akan memecahkan semua rekod jaringan yang ada."

Conte berkata, keyakinan disuarakannya bahawa Kane akan mencipta rekod baharu itu berdasarkan karektor hebat dimiliki penyerang itu.

Kane perlu bangkit semula daripada kesilapan gagal menyempurnakan sepakan penalti di suku akhir Piala Dunia yang menyaksikan England tewas 1-2 kepada Perancis.

Jika menyempurnakan sepakan itu, Kane akan memegang rekod sebagai penjaring terbanyak England.

Sebelum itu, dia menyempurnakan sepakan penalti pertama mengatasi penjaga gol sekelab, Hugo Lloris untuk menyamai rekod Rooney dengan 53 gol.

"Bagi kami, dia menjadi rujukan penting, bukan saja untuk menjaringkan gol, tetapi karektornya di padang bersama dengan Hugo," kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 10:27 PM