ANTONIO Conte. FOTO AFP
ANTONIO Conte. FOTO AFP
AFP

London: Bos Tottenham, Antonio Conte berkata beliau tidak menjangka akan kehilangan jawatannya sebelum akhir musim ini walaupun timbul spekulasi mengenai siapa yang akan menjadi penggantinya sebagai pengurus Spurs.

Kontrak Conte akan tamat pada penghujung musim ini tetapi nampaknya tiada kesungguhan daripada kedua-dua pihak untuk melanjutkan khidmat pengendali dari Itali itu.

Permulaan yang buruk pada bulan ini menyaksikan Tottenham tersingkir daripada saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara, tetapi mereka berada di kedudukan empat teratas Liga Perdana, malah boleh menduduki tempat ketiga hujung minggu ini sekiranya meraih kemenangan di Southampton.

Conte baru sahaja kembali menjalankan tugas di London selepas pulih daripada pembedahan pundi hempedu di Itali.

"Anda bertanya kepada saya mengenai masa depan dan saya beritahu kepada anda bahawa anda tidak tahu apa yang berlaku, kerana mungkin kelab boleh memecat saya.

"Tetapi saya ulangi, saya tidak fikir kelab memikirkan perkara itu ketika ini. Kelab melihat setiap hari apa yang saya dan kakitangan saya lakukan. Ia hanya jawapan mengenai masa depan saya.

"Saya rasa tidak ada satu kelab pun yang boleh memberitahu pengurus bahawa anda kekal di sini sehingga akhir musim. Anda sendiri tahu bola sepak sangat pelik.

"Anda tidak tahu apa yang berlaku esok, anda faham? Tetapi saya ulangi, pada pendapat saya, kami cuba setiap saat untuk melakukan segala-galanya dan saya rasa kelab menghargai usaha kami ini," kata Conte pada sidang akhbar pra perlawanan bertemu Southampton.

Penyingkiran Tottenham di saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara mencetuskan perdebatan baharu mengenai masa depan Harry Kane.

Kapten England itu masih belum memenangi trofi utama dalam kariernya dan hanya berbaki setahun dalam kontraknya pada penghujung musim.

Manchester United dilaporkan sedang menyediakan tawaran untuk menarik Kane ke Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 8:37 AM