PEMAIN Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong selepas perlawanan menentang Maldives. FOTO FB FAM
PEMAIN Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong selepas perlawanan menentang Maldives. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya tidak akan marah pemain," itu kata pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang tetap berpuas hati dengan aksi anak buahnya terutama pada babak pertama apabila menang 3-0 menentang Maldives, malam tadi.

Dalam aksi persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad kendalian Pan-gon dilihat agak 'lemau' sepanjang 45 minit pertama sebelum bangkit dengan aksi lebih memukau pada baki saingan.

Jelas jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan itu, tidak ada apa perlu beliau dimarahkan biarpun pemainnya gagal mempamerkan aksi mantap seperti ketika membelasah Kemboja 4-0 pada aksi pemanas badan, Jumaat lalu.

Katanya, pemain sudah melakukan yang terbaik dan beliau mengakui berpuas hati dengan prestasi pasukan walaupun intensiti tinggi yang diharapkan agak kendur.

"Apa yang mereka lakukan sejak dua minggu ini dengan berlatih bersungguh-sungguh dan menunjukkan komitmen tinggi dan kesemuanya berada pada keadaan baik.

"Mereka bukan lagi budak sekolah. Mereka adalah pemain profesional yang sangat baik dan jika kita tewas sekalipun malam ini, saya akan menghargai pengorbanan dilakukan mereka.

"Saya ucapkan tahniah kepada pemain kerana berjaya mencatat kemenangan walaupun tidak lancar dan sedikit bergelut pada babak pertama.

"Kami menganalisis dan memberitahu apa yang diperlukan kepada pemain dan akhirnya aksi pada babak kedua bertambah baik," katanya pada sidang media sejurus berakhir aksi itu.

Tiga gol negara disumbangkan Darren Lok pada minit ke-24, disusuli Faisal Halim minit ke-64 dan Lee Tuck minit ke-88.

Ditanya mengenai bayangan 23 pemain akan dibawa ke Piala AFF, bekas jurulatih pasukan Hong Kong itu menjelaskan beliau memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.

"Kita belum mengetahui senarai akhir 23 pemain, namun ia akan diumumkan secepat mungkin sama ada esok atau lusa.

"Semua pemain memuaskan hati saya secara individu dan saya tidak menilai hanya berdasarkan perlawanan malam ini sahaja, tetapi seperti saya katakan ia berdasarkan kesesuaian taktikal," katanya.

Di Piala AFF nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B dan akan memulakan saingan dengan bertemu Myanmar di Yangon, pada Rabu depan.

Selepas itu, skuad negara akan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menentang Laos (24 Disember), ke Vietnam pada 27 Disember dan Singapura di SNBJ (3 Januari depan).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 7:25 PM