FAISAL (dua dari kiri) diberikan ucapan tahniah oleh rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan Harimau Malaya. FOTO ASWADI ALIAS
FAISAL (dua dari kiri) diberikan ucapan tahniah oleh rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan Harimau Malaya. FOTO ASWADI ALIAS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya membawa bekalan tipis ke bumi 'Siam' selepas melakar kemenangan 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.

Walaupun mencatat kemenangan, bekalan itu dilihat belum cukup 'selamat' buat Malaysia yang berhasrat untuk mara ke pentas final selepas kali terakhir layak pada kempen 2018.

Begitupun, kejayaan menundukkan pasukan di ranking ke-111 dunia itu melebarkan rekod tanpa kalah skuad negara ke atas lawan sejak 2014.

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon membuat rombakan kecil apabila mempertaruhkan Lee Tuck berbanding Mukhairi Ajmal di bahagian tengah dengan selebihnya barisan sama menundukkan Singapura 4-1 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B, Selasa lalu, dikekalkan.

Tuan rumah yang mendapat sorakan padu hampir 62,989 penyokong tidak menunggu lama apabila Faisal Halim menggegar jaring skuad Gajah Perang di minit ke-11 selepas dia bijak menyambar bola tandukan V Ruventhiran yang mendapat hantaran Sharul Nazeem.

Gol pertama itu nyata membangkitkan suasana SNBJ apabila penyokong melonjak meraikan jaringan pertama itu dan ia adalah gol peribadi keempat buat Faisal dalam edisi kali ini.

Ketinggalan satu gol menyaksikan anak buah Alexandre Polking memperkemaskan aksi dan hasilnya beberapa kali mengundang bahaya di kubu negara, termasuk percubaan Teerasil Dangda dan Bordin Phala masing-masing di minit ke-21 dan 23 tidak tepat ke sasaran.

Sebaliknya, bek kanan skuad negara, Quentin Cheng hampir menambah gol kedua, namun tetapi tolakannya di minit ke-28 melambung tinggi selepas menerima hantaran Faisal dan melegakan Kittipong Phoothawchuek di depan gawang.

Ancaman merbahaya terus dilancarkan Thailand di babak kedua, namun tendangan Teerasil di minit ke-47 sempat dihalang Sharul Nazeem.

Pada minit ke-53 tandukan Dominic Tan berjaya menerjah jaring Thailand, namun pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Kim Dae Yong membatalkan gol itu selepas mendakwa Pansa Hemviboon di siku Dominic.

Menyedari pelawat semakin ghairah menyerang, Pan-gon membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Nur Shamie Iszuan, Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Sergio Aguero dan mengeluarkan Quentin, Safawi Rasid serta Darren Lok.

Haqimi yang berusia 19 tahun melakukan satu larian deras di minit ke-74 bagi mengatasi pertahanan lawan, namun percubaannya tidak menepati sasaran.

Kelebihan tipis itu terus kekal hingga wisel penamat dan skuad kendalian Pan-gon bakal hadapi ujian lebih getir pada aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Selasa ini dalam misi melangkah ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 10:28 PM