SAFAWI akan dipinjamkan ke kelab Ratchaburi FC. FOTO Aizuddin Saad
SAFAWI akan dipinjamkan ke kelab Ratchaburi FC. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) akhirnya mengesahkan perpindahan Safawi Rasid ke Liga Thailand secara pinjaman.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial JDT, Safawi dan seorang lagi pemain import, Moussa Sidibe akan dipinjamkan ke kelab Ratchaburi FC.

Pengarah Teknikal JDT, Hector Bidoglio dalam posting itu mengucapkan maju jaya buat kedua-dua tonggak terbabit.

"Kelab Bolasepak JDT telah mencapai persetujuan dengan pasukan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC untuk meminjamkan Safawi Rasid dan Moussa Sidibe.

"Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pemain ini untuk musim akan datang," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Safawi akan berhijrah melebarkan sayap ke Liga Thailand selepas berakhirnya saingan Piala AFF pada Januari depan.

Pengesahan itu dibuat Pengerusi Ratchaburi FC, Tanawat Nitikanchana yang disiarkan oleh media portal antarabangsa, Main Stand- International hari ini.

Menurut laporan itu, segala perbincangan sudah dimuktamadkan dan tonggak sayap JDT dan Harimau Malaya itu bersetuju menyertai kelab itu.

Difahamkan, Safawi akan mengisi kuota pemain Asean di kelab itu.

Keinginan tinggi kelab itu untuk memikat Safawi didorong oleh aksi mantap yang diperagakannya ketika membantu skuad Harimau Malaya selain pengalaman beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan JDT.

Untuk rekod, Liga Thailand bukanlah asing buat pemain negara apabila ramai tonggak tempatan sudah beraksi di negara jiran itu.

Antaranya, Dominic Tan bersama Police Tero dari 2019-2021; Shahrel Fikri dengan Nakhon Ratchasima pada 2018; Junior Eldstal dengan Chonburi FC 2021 dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 8:24 PM