SAFAWI kini beraksi bersama Ratchaburi FC selepas dipinjamkan dari JDT. FOTO FB Ratchaburi FC
SAFAWI kini beraksi bersama Ratchaburi FC selepas dipinjamkan dari JDT. FOTO FB Ratchaburi FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid menjelaskan bahawa kehadiran pemain naturalisasi tidak memberi sebarang kelebihan jika keupayaannya seperti individu tempatan.

Menerusi temubual bersama portal Thailand Main Stand, Safawi berkata, pemain naturalisasi perlulah berada tahap lebih baik sekali gus kehadiran mereka mampu membantu meningkatkan kualiti permainan pasukan.

Katanya, pemain naturalisasi juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan corak permainan liga tempatan supaya mereka tidak kekok menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Bagi saya, jika mereka datang membantu pasukan dan kehadiran mereka jika bagus serta mampu mengikut apa yang ditunjuk oleh jurulatih tidak menjadi masalah.

"Namun, jika mereka (naturalisasi) hadir dengan memiliki kekuatan seperti pemain tempatan tidak akan memberi sebarang makna. Kehadiran pemain naturalisasi perlulah lebih baik daripada pemain tempatan," katanya.

Selain itu, pemain yang berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, aura penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) banyak membantu meningkatkan moral pemain untuk beraksi lebih baik.

"Penyokong Harimau Malaya sememangnya 'gila-gila' mereka sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan seperti yang anda pernah lihat sebelum ini," katanya.

Mengikut rekod, Ketua pasukan Harimau Malaya itu diumumkan secara rasmi sebagai tonggak baharu Ratchaburi FC dalam saingan Liga Thailand pada pertengahan bulan lalu.

Safawi dipinjamkan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) selama semusim untuk mengisi kuota import Asean bersama tiga pemain Myanmar, Myo Min Latt, Nanda Kyaw dan Hein Phyo Win.

Kehadiran Safawi memberi impak positif kepada Ratchaburi terutamanya dibahagian serangan apabila kehadirannya sering kucar-kacirkan pertahanan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 12:39 PM