SAFAWI berkongsi gambar berlatih bersama rakan sepasukan selepas empat bulan berkelana di Liga Thailand. -FOTO Instagram
SAFAWI berkongsi gambar berlatih bersama rakan sepasukan selepas empat bulan berkelana di Liga Thailand. -FOTO Instagram
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain sensasi negara, Safawi Rasid kembali ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas hampir empat bulan dipinjamkan ke kelab Thailand, Ratchaburi FC pada Januari lalu.

Keberadaan Safawi dapat dilihat selepas dia mula turun berlatih bersama rakan sepasukan di pusat latihan JDT semalam.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan spekulasi mengenai penghijrahannya ke Liga Korea mahupun Liga Indonesia sebelum ini hanya khabar angin.

Malah menerusi perkongsian Safawi di Story Instagramnya, dia berkongsi bayangan untuk terus kekal bersama skuad Harimau Selatan untuk baki musim ini.

Tonggak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkongsi warna biru dan merah yang sinonim dengan imej JDT dengan warna itu.

Sepanjang bersama Ratchaburi FC, Safawi dilihat kembali menemui sentuhannya apabila kerap diturunkan bersama pasukan itu dengan membuat 13 penampilan dalam Liga Thailand.

Dia juga berjaya meledak satu gol ketika membantu pasukannya menewaskan Chonburi 2-1 pada 19 Mac lalu.

Dengan kembalinya Safawi ke JDT, dia perlu bekerja lebih keras untuk merebut tempat di posisi kanan yang kini menjadi milik bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi.

Jika gagal, Safawi akan sekali lagi menjadi pilihan kedua di belakang Arif Aiman sekali gus bakal kehilangan minit permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:04 PM