PENGENALAN secara rasmi Safawi  sebagai pemain terbaharu kelab Thailand, Ratchaburi FC hari ini.
PENGENALAN secara rasmi Safawi sebagai pemain terbaharu kelab Thailand, Ratchaburi FC hari ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Harimau Malaya, Safawi Rasid akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai tonggak baharu Ratchaburi FC dalam saingan Liga Thailand.

Safawi, 25, yang diperkenalkan dalam satu majlis bersama kelab itu hari ini mengakui keinginan beraksi di Liga Thailand sudah lama dipendamnya sejak berusia 15 tahun lagi.

Lantas, kini impiannya itu sudah menjadi kenyataan."Ia impian saya sejak berusia 15 tahun lagi untuk bermain di Liga Thailand dan impian itu sudah sampai.

"Dan sebenarnya agak lama untuk saya tunggu merealisasikan impian ini," katanya yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada Ratchaburi FC.

Untuk rekod, ia adalah penghijrahan kedua Safawi ke luar negara selepas sebelum ini pernah beraksi di Liga Portugal bersama Portimonense SC pada 2020 lalu.

Dengan kehadiran Safawi, dia akan menjadi pemain Asia Tenggara ketiga yang mengisi slot kelab itu selepas Myo Minn Latt dan Hein Phyo Win dari Myanmar.

Selain Safawi, terdapat tiga lagi pemain negara yang beraksi di Thailand iaitu Dion Cools bersama Buriram United, Liridon Krasniqi dengan Khon Kaen United dan Junior Eldstal yang menyertai PT Prachuap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 5:47 PM