Penyokong pasukan Ecuador meraikan kemenangan pasukan itu. FOTO Reuters
Penyokong pasukan Ecuador meraikan kemenangan pasukan itu. FOTO Reuters
Agensi

Doha: Ecuador berdepan hukuman denda daripada FIFA berikutan tindakan penyokong mereka ketika perlawanan saingan Kumpulan A berdepan Qatar di Piala Dunia.

Sorakan daripada sebahagian penyokong Ecuador ketika menang 2-0 dilaporkan ditujukan kepada lawan mereka dari Amerika Selatan iaitu Chile.

Jawatankuasa Disiplin FIFA memberitahu mereka sudah memulakan siasatan terhadap Ecuador.

Mereka berpotensi dikenakan tindakan kerana melanggar artikel 13 mengikut kod disiplin FIFA yang boleh menyebabkan mereka dikenakan hukuman beraksi dalam perlawanan tertutup atau dilarang beraksi di venue tertentu.

Ecuador dibenarkan beraksi di Piala Dunia awal bulan ini sekalipun aduan daripada Chile mengenai status pemain pertahanan Byron Castillo.

Chile dan Peru mengemukakan aduan kepada FIFA mengenai pembabitan Castillo dalam perlawanan kelayakan pasukan Ecuador, mendakwa dia warga Colombia dan memalsukan umurnya.

Pada Jun, FIFA menetapkan Castillo, 23, dibenarkan beraksi untuk skuad bola sepak kebangsaan Ecuador. Chile dan Peru kemudian mengemukakan bantahan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung keputusan itu.

Ecuador akan berdepan Belanda bagi perlawanan seterusnya di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 1:17 AM