CASTILLO (kiri) menjadi sebab utama Chile dan Peru menghantar bantahan. FOTO Reuters
CASTILLO (kiri) menjadi sebab utama Chile dan Peru menghantar bantahan. FOTO Reuters
AFP

Paris: Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) menolak usaha Chile dan Peru untuk menyingkirkan Ecuador daripada Piala Dunia, di mana pasukan itu akan bermain dalam aksi pembukaan menentang Qatar.

Aduan itu berkisar kepada Byron Castillo, pertahanan yang bermain dengan Ecuador dalam lapan aksi kelayakan Piala Dunia.

Persekutuan Bolasepak Chile (FFCH) berkata ada bukti Castillo, yang beraksi buat Leon di Mexico, dilahirkan di Colombia pada Julai 1995 dan bukan di Playas, Ecuador pada November 1998.

FFCH mendakwa wujudnya 'sijil kelahiran yang dipalsukan, pengisytiharan usia dan kewarganegaraan juga palsu'.

Selepas pendengaran Khamis lalu, Jawatankuasa Rayuan Fifa mengesahkan keputusan Jawatankuasa Disiplin.

"Berdasarkan dokumen yang ditunjukkan, pemain itu didapati memegang taraf penduduk tetap Ecuador," kata Fifa semalam.

Berbaki sembilan minggu hingga perlawanan pembukaan pada 20 November, Chile atau Peru masih boleh merayu kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

"Sepanjang hidup saya sebagai peguam, saya tidak pernah melihat ketidakadilan seperti ini.

"Hari yang sedih buat bola sepak dan keadilan. Mesejnya adalah jelas: penipuan dibenarkan. Kami akan merayu kepada CAS," kata Eduardo Carlezzo, peguam buat FFCH.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 12:59 PM