CASTILLO tiada dalam senarai skuad Ecuador ke Piala Dunia selepas status kewarganegaraannya mencetuskan kontroversi. FOTO AFP
CASTILLO tiada dalam senarai skuad Ecuador ke Piala Dunia selepas status kewarganegaraannya mencetuskan kontroversi. FOTO AFP
Reuters

London: Ecuador mengetepikan pemain pertahanan, Byron Castillo daripada skuad 26 pemain ke Piala Dunia, walaupun Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) mengesahkan pemain itu sebagai rakyat negara itu.

Awal bulan ini, CAS mengesahkan Ecuador boleh bermain di Piala Dunia di Qatar selepas menolak dakwaan Chile bahawa Castillo tidak layak bermain di peringkat kelayakan.

Tetapi, jurulatih Gustavo Alfaro membuat keputusan tidak menyenaraikan Castillo selepas Ecuador dikenakan pemotongan tiga mata bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan denda sebanyak AS$106,033.29 (RM486,671.59) kerana menggunakan dokumen mengandungi maklumat palsu.

Pada September lalu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menolak rayuan Chile susulan dakwaan awal Castillo dilahirkan di Tumaco, Colombia pada 1995, bukannya di bandar Ecuador, General Villamil Playas pada 1998, seperti dicatatkan pada dokumen rasminya.

Bagaimanapun, CAS berkata, Persekutuan Bolasepak Ecuador (FEF) melanggar Artikel 21 Kod Disiplin Fifa kerana menggunakan dokumen mengandungi maklumat palsu.

Ecuador sentiasa menafikan pemain itu tidak layak bermain dan FEF mengaku menggunakan dokumen dan kriteria sah ketika memilih Castillo.

Alfaro memilih barisan pemain penting di peringkat kelayakan termasuk penjaga gol, Alexander Dominguez; pemain tengah, Carlos Gruezo dan penyerang, Enner Valencia serta Kevin Rodriguez.

"Saya mahu memberi kesempatan dan menyatakan pintu skuad kebangsaan sentiasa terbuka ketika menyenaraikan pemain berusia dari 18 hingga 38 tahun dan semuanya mendapat tempat," katanya.

"Saya tahu semua pemain ini memiliki komitmen tinggi. Kini, saya perlu menganalisis jika mereka mengambil peluang untuk memenuhi keperluan pasukan."

SENARAI PEMAIN EQUADOR

Penjaga gol: Alexander Dominguez (Liga de Quito), Hernan Galindez (Aucas), Moises Ramirez (Independiente del Valle).

Pemain pertahanan: Pervis Estupinan (Brighton & Hove Albion), Angelo Preciado (Gent), Piero Hincapie (Bayer Leverkusen), Xavier Arreaga (Seattle Sounders), Diego Palacios (Los Angeles FC), Jackson Porozo (Troyes), Robert Arboleda (Sao Paulo), Felix Torres (Santos Laguna), William Pacho (Royal Antwerp FC).

Pemain tengah: Moises Caicedo (Brighton), Jose Cifuentes (Los Angeles FC), Alan Franco (Talleres), Jhegson Mendez (Los Angeles FC), Carlos Gruezo (Augsburg), Gonzalo Plata (Valladolid), Angel Mena (Leon), Ayrton Preciado (Santos Laguna), Romario Ibarra (Pachuca), Jeremy Sarmiento (Brighton)

Penyerang: Enner Valencia (Fenerbahce), Michael Estrada (Cruz Azul), Djorkaeff Reasco (Newell's Old Boys), Kevin Rodriguez (Imbabura SC).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 12:28 PM